mutakhir

VistaJet sahkan kenyataan CAAM

SYARIKAT Syarikat pemilik jet, VistaJet Ltd mengesahkan kenyataan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) berhubung sebuah pesawatnya yang dikesan mengalami masalah teknikal dalam pemeriksaan rutin sebelum pelepasan.

VistaJet dalam kenyataan ringkas dikeluarkan menerusi Globe Newswire berkata, susulan masalah teknikal itu, sebuah pesawat gantian disediakan segera, bagi memenuhi jadual perjalanan pelanggan mereka.

Walaupun tidak menamakan pelanggan mereka dalam kenyataan itu, namun ia jelas merujuk pesawat sepatutnya dinaiki Tun Dr Mahathir Mohamed untuk penerbangan dari Subang ke Langkawi pada Jumaat lalu.

Ketika berucap kepada penduduk di Langkawi pada malam berkenaan, selepas tiba dengan pesawat gantian, Dr Mahathir mendakwa pesawat sepatutnya dinaiki beliau disabotaj dengan tayar hadapannya dikesan mengalami kerosakan.

Dr Mahathir mendakwa, sabotaj itu hanya sebahagian daripada usaha menghalang beliau daripada menjadi calon untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) di Parlimen Langkawi.

Pengerusi CAAM, Datuk Seri Azharuddin A Rahman, menerusi kenyataannya, menyatakan tiada sebarang unsur sabotaj dikesan terhadap pesawat Bombardier Challenger CL60, yang sepatutnya dinaiki Dr Mahathir itu, sebaliknya berpunca masalah teknikal kecil dan rutin, iaitu kebocoran tayar sebelah kiri.

Azharuddin berkata, selepas dimaklumkan mengenai masalah berkenaan, pihaknya membuat siasatan terperinci meliputi pengesahan dokumentasi pesawat, pemeriksaan fizikal pesawat serta temubual dengan juruterbang dan kakitangan penyelenggaraan pesawat terbabit.

Beliau menyifatkan tuduhan sabotaj terhadap pesawat adalah sangat serius dan boleh memberi kesan kepada reputasi industri penerbangan Malaysia dan negara secara keseluruhannya terutama ketika tempoh sensitif seperti menjelang PRU ketika ini.

Berita berkaitan:

Mahathir tolak kenyataan CAAM

Tiada unsur sabotaj - CAAM

Polis tunggu laporan CAAM

DCA siasat dakwaan pesawat Tun M disabotaj

Disiarkan pada: April 29, 2018 @ 10:16pm
d