mutakhir

Dulu kuat, sekarang terlantar

Oleh Shahrinnahar Latib

PESARA polis, Tengku Abdul Rahman Tengku Muhammad, 95, kini terlantar tidak sedarkan diri selepas diserang angin ahmar sejak setahun lalu.

Anaknya, Tengku Norizan, 54, berkata, sebelum ini ayahnya sihat seperti biasa dan mampu ke mana-mana seorang diri, namun selepas terjatuh ketika pulang daripada kedai setahun yang lalu, pesara polis itu terus tidak sedarkan diri.

"Ayah hanya mampu terbaring sahaja dan tidak sedarkan diri. Semua saya yang buat. Makan pun tidak boleh hanya boleh minum susu dengan menggunakan tiub khas.

"Memang sedih lihat keadaan ayah sekarang, sebab sebelum ini walaupun umurnya sudah 90 tahun lebih, dia masih kuat lagi ke mana-mana. Namun selepas jatuh, dia hanya mampu terbaring sahaja, cakap pun tidak boleh," katanya ketika ditemui di rumahnya di Sungai Lembing di sini, hari ini.

Sebelum itu, Tengku Abdul Rahman menerima kunjungan calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Lembing, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah yang turut menyampaikan sumbangan.

Dalam pada itu, anak keempat dari enam beradik itu terharu dengan kunjungan Md Sohaimi yang selama ini sentiasa peka terhadap permasalahan dan keluh kesah penduduk.

"Terima kasih kerana sudi datang melawat ayah saya. Memang sebelum ini pun beliau memang sudah beberapa kali datang melawat ayah dan memberi pelbagai bantuan yang diperlukan," katanya.

Sementara itu, Md Sohaimi yang juga penyandang kerusi DUN Sungai Lembing berkata, program ziarah seumpama ini bukanlah sesuatu yang baharu dilaksanakan sebaliknya telah dilaksanakan oleh setiap bekas wakil rakyat sebelum ini.

"Ini adalah cara kita bertemu dengan penduduk terutamanya yang tidak bernasib baik. Kita bukan laksanakan ziarah ini pada musim pilihan raya sahaja malah pada setiap masa," katanya.

Disiarkan pada: April 30, 2018 @ 11:52am
d