mutakhir

PPR untuk belia dan pasangan muda

Oleh Abdul Rahemang Taiming

SEBANYAK 500 hingga 1,000 unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dirancang dibangunkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Batu di Tawau, dalam tempoh dua tahun akan datang.

Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samat berkata, tapak pembinaan rumah PPR itu sudah dikenal pasti dan dikhususkan untuk golongan belia serta pasangan muda berpendapatan rendah.

Beliau berkata, ia selaras usaha kerajaan untuk memastikan golongan terbabit memiliki kediaman sendiri mampu milik.

"Ini bukannya janji pilihan raya tetapi perancangan ini sudah lama kita suarakan memandangkan wujud keperluan selain permintaan daripada golongan muda di DUN Tanjung Batu.

"Kita dapati masih ramai golongan belia yang tidak mampu memiliki kediaman sendiri sehingga terpaksa menyewa, selain ada pasangan muda masih tinggal menumpang di rumah ibu bapa masing-masing.

"Sehubungan itu, diharapkan dengan adanya PPR ini nanti, kita dapat membela nasib golongan ini untuk memiliki kediaman sendiri," katanya pada majlis perjumpaan bersama jentera BN di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tanjung Batu di Tawau, malam tadi.

Hamisa berkata, sebanyak tujuh PDM di DUN berkenaan sudah digerakkan termasuk memasang poster, bendera dan bahan kempen sebaik proses penamaan calon selesai.

Beliau juga berharap semua calon dapat bertanding secara sihat tanpa membuat serangan peribadi.

"Walaupun ada pelbagai tohmahan di media sosial berkaitan pembangunan di kawasan Tanjung Batu, namun saya lebih gemar turun padang dan menyelesaikan masalah rakyat," katanya.

Disiarkan pada: April 30, 2018 @ 12:13pm
d