mutakhir

Kreatifnya orang kampung...

Oleh Aslina Abu Bakar

cnews.nstp.com.my

KEGHAIRAHAN penyokong mereka cipta pelbagai replika menggunakan bendera parti masing-masing di Terengganu dilihat semakin rancak.

Pelbagai replika dibina bertujuan melambangkan kekuatan parti yang disokong dan tidak hairanlah menjadi kelaziman penyokong membina kereta kebal, jet pejuang, motosikal dan pintu gerbang untuk memeriahkan markas di lokasi masing-masing.

Namun, sekumpulan anak muda dari Kampung Gelong Gajah memilih untuk membina replika gajah gergasi sinonim dengan nama kampung mereka yang menjadi antara kubu kuat BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit.

Replika itu juga menjadi antara tarikan kepada pengundi baik di cawangan berkenaan dan dari cawangan lain untuk datang ke markas semata-mata ingin bergambar dengan replika itu.

Penduduk, Mohamad Ridzuan Awang Manan, 26, berkata dia bersama empat lagi rakan mengambil masa selama lima hari bagi menyiapkan replika gajah berketinggian sembilan kaki itu.

"Kami hanya menggunakan buluh, bendera, tali serta lampu LED bagi menyiapkan replika ini.

"Kita sedia maklum, gajah adalah mamalia yang kuat, jadi kami selaku anak muda di kampung ini berharap semangat anak-anak muda memperjuangkan BN, kuat seperti gajah ini," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Gelong Gajah berkata, pembinaan replika itu adalah cetusan pihaknya sendiri.

"Kita sudah memulakan pemasangan bendera di kampung ini sejak 22 April lalu. Pada mulanya kami mahu membina pintu gerbang, tetapi sudah banyak cawangan yang memilih membina pintu gerbang.

"Jadi kami mengambil keputusan bina replika gajah ini. Mujurlah, kita mempunyai anak-anak muda yang kreatif dan komited bagi menyiapkan replika gajah ini, malah seekor lagi anak gajah masih dalam proses untuk disiapkan.

"Saiz replika gajah yang besar serta pemasangan lampu LED membuatkan ramai yang tertarik untuk melihat termasuk kanak-kanak terutama ketika waktu malam.

"Semangat dan kerjasama yang ditunjukkan penyokong BN pelbagai peringkat usia di kampung ini untuk bergotong-royong memeriahkan markas serta kawasan kampung ini amat memuaskan," katanya.

Disiarkan pada: April 30, 2018 @ 2:49pm
d