mutakhir

Bumbung terbang hempap lima kereta

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

LIMA kenderaan rosak apabila dihempap bumbung sebuah kilang di Taman Industri Sungai Buloh, Kota Damansara yang diterbangkan angin dalam kejadian hujan lebat serta ribut sekitar 3 petang hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh, Muhammad Hazrin Zulkifli ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 3.06 petang dan sebaik tiba di lokasi, didapati lima kereta yang diparkir di hadapan kilang berkenaan rosak dihempap bumbung zink kilang.

Katanya, kebanyakan kereta berkenaan mengalami kerosakan pada bahagian bumbung selain cermin serta tingkap pecah.

“Hasil siasatan dijalankan, kita dapati bumbung berkenaan asalnya dipasang di tingkat atas bangunan empat tingkat kilang itu.

“Namun, hujan lebat serta angin kencang menyebabkan ia tercabut serta diterbangkan angin sebelum menghempap lima kenderaan diletakkan berhampiran kilang itu,” katanya.

Beliau berkata, oleh kerana keadaan bumbung besar serta berat dan memerlukan ia diangkat menggunakan kren, pihaknya kemudian menyerahkan kerja mengalih kepada pemilik kilang berkenaan.

“Oleh kerana keadaan bumbung besar iaitu anggaran 50 kaki panjang dan 50 kaki lebar, maka ia perlu dialihkan menggunakan kren.

“Setelah berbincang dengan pemilik bumbung yang juga pengurusan sebuah kilang di sini, mereka bersetuju untuk melaksanakan kerja mengalih serta mengangkat bumbung itu sendiri,” katanya.

Disiarkan pada: April 30, 2018 @ 5:09pm
d