mutakhir

Tiga anggota APM cedera

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

TIGA anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis cedera selepas ambulans dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Jalan Kangar-Padang Besar berdekatan Kampung Salang, Kangar, hari ini.

Jurucakap APM Perlis berkata, ketika kejadian 9.51 pagi itu, ambulans berkenaan dalam perjalanan ke lokasi kemalangan di Beseri.

"Ambulans APM dari Kangar ketika itu dalam perjalanan ke Jalan Beseri untuk menangani kes kemalangan orang awam.

"Bagaimanapun, ketika tiba di Kampung Salang, pemandu ambulans hilang kawalan ketika cuba mengelak lopak air sebelum terbabas ke dalam tali air di persimpangan di Kampung Salang," katanya ketika dihubungi.

Jelas jurucakap itu, akibat daripada kemalangan terbabit anggotanya mengalami kecederaan ringan.

"Ambulans berkenaan mengalami kerosakan teruk akibat daripada kemalangan itu dan ketiga-tiga anggota APM mengalami kecederaan ringan.

"Mereka dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) manakala kemalangan yang membabitkan orang awam di Beseri diserahkan kepada unit ambulans APM Padang Besar," katanya.

Gambar Ihsan APM

Disiarkan pada: April 30, 2018 @ 9:09pm
d