mutakhir

Idris rancang nikah pada hujung tahun

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: Selepas dua kali menunda majlis pernikahan, pelakon Idris Khan menafikan dia sudah putus dengan kekasihnya Sanaa Jeljalane, 27.

Idris, 30, berkata, dia masih mencari tarikh baru dan memutuskan untuk melangsungkan pernikahan hujung tahun ini.

“Kami masih bersama. Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, jika ada tarikh baru saya akan berkongsi dengan semua.

“Buat masa sekarang saya masih mencari waktu sesuai. Selain itu ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan termasuk urusan dokumentasi bakal isteri yang berasal dari Maghribi.

“Insya-Allah, jika segalanya dipermudahkan saya merancang untuk bernikah hujung tahun ini atau awal tahun depan. Apa yang pasti, majlis tetap ada. Apa pun, saya berharap peminat mendoakan yang baik-baik saja untuk saya dan pasangan,” katanya.

Sebelum ini, Idris mendedahkan dia sepatutnya berkahwin hujung tahun lalu sebelum menunda ke 20 Januari lalu.

Bakal berkahwin dengan gadis Maghribi, pada awalnya Idris mahu melangsungkan pernikahan di negara itu.

Namun, selepas mendapat nasihat keluarga, dia memutuskan bernikah di sini.

Disiarkan pada: May 1, 2018 @ 4:52am
d