mutakhir

Simbol sokongan padu

Oleh HM Digital

Kuala Nerus: Keghairahan penyokong mereka cipta pelbagai replika menggunakan bendera parti masing-masing di negeri ini dilihat semakin rancak.

Pelbagai replika dibina bertujuan melambangkan kekuatan parti yang disokong dan tidak hairanlah menjadi kelaziman penyokong membina kereta kebal, jet pejuang, motosikal dan pintu gerbang untuk memeriahkan markas di lokasi masing-masing.

Namun, sekumpulan anak muda dari Kampung Gelong Gajah memilih untuk membina replika gajah gergasi sinonim dengan nama kampung mereka yang menjadi antara kubu kuat Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit.

Malah, replika itu juga menjadi antara tarikan kepada pengundi baik di cawangan berkenaan dan cawangan lain untuk datang ke markas semata-mata ingin bergambar dengan replika itu, sekali gus merancakkan lagi kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Penduduk, Mohamad Ridzuan Awang Manan, 26, berkata, dia bersama empat rakan mengambil masa lima hari menyiapkan replika gajah setinggi 2.7 meter itu.

“Kami hanya menggunakan buluh, bendera, tali serta lampu LED bagi menyiapkan replika ini.

“Kita sedia maklum, gajah mamalia yang kuat, jadi kami selaku anak muda di kampung ini berharap semangat anak muda memperjuangkan BN kuat seperti mana gajah ini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Gelong Gajah berkata, pembinaan replika itu adalah cetusan pihaknya sendiri.

“Kami memulakan pemasangan bendera di kampung ini sejak 22 April lalu. Pada mulanya mahu membina pintu gerbang, tetapi banyak cawangan memilih membina pintu gerbang.

“Jadi kami mengambil keputusan bina replika gajah ini. Mujurlah kami mempunyai anak muda yang kreatif dan komited bagi menyiapkan replika gajah ini, malah seekor lagi anak gajah dalam proses untuk disiapkan.

“Saiz replika gajah yang besar serta pemasangan lampu LED membuatkan ramai tertarik untuk melihat termasuk kanak-kanak terutama ketika waktu malam.

“Semangat dan kerjasama ditunjukkan penyokong BN pelbagai peringkat usia di kampung ini untuk bergotong-royong memeriahkan markas serta kawasan kampung ini amat memuaskan,” katanya.

Disiarkan pada: May 1, 2018 @ 5:21am
d