mutakhir

Sorok daun ketum RM30,000

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Padang Terap: Tindakan licik tiga lelaki mengubah suai bumbung kenderaan pacuan empat roda bagi menyeludup daun ketum akhirnya terbongkar apabila mereka ditahan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Pos Sahara Durian Burung di sini, semalam.

Panglima Enam Briged, Brigedier Jeneral Abdul Aziz Ismail berkata, hasil penahanan dua lelaki tempatan dan seorang warga Thailand berusia 26 hingga 35 tahun itu menemui 325 kilogram daun ketum yang dianggarkan bernilai hampir RM30,000.

Katanya, semua mereka ditahan kumpulan ronda Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja (2RRD) yang diketuai Sarjan Shamsudin Maidi, di sebuah ladang di pos berkenaan kira-kira jam 11.30 pagi.

“Ketika kejadian anggota berkenaan terserempak dengan dua kenderaan pacuan empat roda jenis Pajero dalam keadaan mencurigakan sedang melalui kawasan ladang itu.

“Pada mulanya pemeriksaan di dalam kenderaan itu kosong namun pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan ubah suai di atas bumbung kenderaan dan lantai kenderaan di bahagian belakang, menyebabkan anggota terbabit menggunakan peralatan untuk membuka bahagian berkenaan.

“Apabila dibuka, terdapat kira-kira 500 ikat daun ketum yang dibungkus dalam plastik putih dengan berat 700 gram setiap satu. Semua daun ketum termasuk kenderaan itu dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Abdul Aziz berkata daun ketum itu dipercayai akan diseludup ke negara jiran berikutan permintaan yang sangat tinggi selain harganya dianggarkan mencecah RM90 bagi setiap kilogram.

Katanya, tiga lelaki terbabit serta semua barang rampasan kemudian dibawa ke Balai Polis Kuala Nerang untuk siasatan.

Disiarkan pada: May 1, 2018 @ 5:28am
d