mutakhir

Ikut nama dalam borang

Oleh Irwan Shafrizan Ismail

Putrajaya: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan dakwaan dibuat Tan Sri Muhyiddin Yassin kononnya SPR akan mencetak kertas undi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi Parlimen P143 Pagoh dan DUN N09 Gambir dengan menggunakan nama sebenar beliau iaitu Mahiaddin.

Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, menegaskan nama yang dicetak pada kertas undi terbabit ialah seperti yang tertera pada ruangan 3 Borang 4 dan 4A yang diterima SPR iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Hasil semakan dalam laman web SPR dan aplikasi MySPR Semak juga mendapati paparan nama yang tertera adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin melainkan nama dalam senarai Daftar Pemilih yang mengikut nama asal seperti mana di kad pengenalan beliau.

“Berhubung dengan nama beliau yang tertera pada keputusan PRU13, SPR menjelaskan nama pemenang pilihan raya apabila diwartakan dalam Borang 16 akan tertera nama penuh atau nama sebenar pemenang dan bukannya nama pada kertas undi.

“Sehubungan dengan itu, SPR berharap penerangan ini dapat memberikan penjelasan terhadap perkara dibangkitkan, selain mempersoalkan niat Muhyiddin yang cuba menarik perhatian dan mengelirukan orang ramai dengan dakwaan itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Semalam, Muhyiddin didakwa menggesa SPR supaya memastikan namanya dieja dengan tepat selepas mendapati ejaan namanya di laman web SPR adalah daripada MyKad iaitu Mahiaddin Bin Md Yassin. Dakwanya lagi, tindakan SPR itu menyebabkan nama ‘Mahiaddin’ dicetak pada kertas undi.

Dalam perkembangan lain, Mohd Hashim berkata, mesej viral oleh pihak tertentu berkaitan etika berpakaian ketika mengundi pada PRU-14 akan datang tidak benar dan SPR tidak pernah menetapkan etika berpakaian seperti kehadiran ke pejabat.

“SPR tidak pernah dan tidak menghalang seseorang pengundi daripada memasuki tempat mengundi.

“Asalkan ia tidak menyalahi Seksyen 26(1)(g) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang menetapkan seseorang pengundi dilarang memasuki tempat mengundi sekiranya memakai apa-apa pakaian dan peralatan memaparkan nama calon, simbol atau lambang parti politik pada hari mengundi,” katanya.

Disiarkan pada: May 1, 2018 @ 8:38am
d