mutakhir

Guru, rakan maut tercampak dalam parit

Oleh Norasikin Daineh

SEORANG guru dan rakannya maut selepas motosikal ditunggang mereka dirempuh dari belakang di Jalan Keningau-Tambunan di Kampung Nambayan, di Keningau, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 7.30 malam itu, penunggang, Remy Imus, 30, yang bekerja sebagai guru dan rakan sekampungnya, Bede Lazarous, 30, maut di lokasi kejadian selepas tercampak ke dalam parit.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Ahmad Jawila berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang yang memaklumkan kejadian itu, pada 7.45 malam.

"Siasatan awal mendapati penunggang motosikal bersama rakannya dalam perjalanan dari arah Keningau ke Tambunan, manakala kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton dari arah sama.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu pacuan empat roda, berusia 47 tahun

terlanggar belakang motosikal menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak ke dalam parit di sebelah kiri bahu jalan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad berkata, akibat kejadian itu, kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi, manakala pemandu pacuan empat roda tidak mengalami kecederaan.

Beliau berkata, mayat dihantar ke Hospital Tambunan untuk tindakan lanjut.

Katanya, pemandu pacuan empat roda itu didapati memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian.

“Dia kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Khatizah Rahaban, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.59 malam.

Beliau berkata, susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tambunan dikejarkan ke lokasi untuk membantu mangsa kemalangan.

Disiarkan pada: May 1, 2018 @ 12:14pm
d