mutakhir

Mahir cakap Tamil satu kelebihan

Oleh Safuri Kamarudin

MEMILIKI persamaan dengan pengundi dianggap kelebihan besar buat calon untuk memenangi hati rakyat.

Bagi calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, kemampuan bertutur dalam bahasa Tamil memberi kelebihan besar kepadanya ketika berceramah di hadapan pengundi kaum India.

Abdul Azeez ketika ditemui mengakui lebih selesa bertutur dalam bahasa Tamil sekiranya majlis itu dihadiri ramai masyarakat India terutama warga emas.

“Saya mudah untuk menyampaikan apa yang kerajaan lakukan demi kesejahteraan rakyat, supaya mereka dapat menilai dan faham apa perjuangan sebenar BN.

“Bagi warga emas, mereka dikhuatiri sukar untuk memahami apa yang disampaikan sehingga perlu diterjemah untuk membolehkan mereka faham, berbanding anak muda yang terdedah dengan media sosial,” katanya selepas berjumpa dengan masyarakat India di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Ketil, di sini.

Parlimen Baling memiliki 107,213 pengundi berdaftar untuk PRU-14 dengan kaum India kedua terbesar selepas Melayu, majoritinya di DUN Kuala Ketil.

Abdul Azeez yang juga penyandang kerusi Parlimen Baling berkata, masyarakat India khususnya warga emas mudah mesra dengannya dan beliau akan bertutur bahasa Tamil apabila mendekati kaum itu.

“Rakyat dapat menilai kerja saya sejak memenangi kerusi ini ketika PRU-13 dan mendekati rakyat berterusan sehingga sekarang.

“Sebab itu apabila berjumpa masyarakat India, saya akan sampaikan apa yang kerajaan buat dan sedang laksana untuk rakyat.

“Saya percaya hubungan baik dengan penduduk yang saya jumpa sepanjang berkhidmat sejak lebih 10 tahun lalu, sudah menyelesaikan banyak masalah rakyat,” katanya.

Abdul Azeez berkata, sekiranya diberi mandat, beliau akan terus menunaikan janji untuk rakyat seperti menyiapkan hospital pakar di daerah ini, selain mewujudkan Universiti Teknologi Mara (UiTM), kawasan perindustrian, Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan projek ladang Solar.

Disiarkan pada: May 1, 2018 @ 1:57pm
d