mutakhir

Jarang balik lepas diperkosa abang sepupu

Oleh Norasikin Daineh

DISEBABKAN trauma dan takut dengan ugutan selepas dirogol abang sepupu, remaja perempuan mengambil tindakan jarang pulang ke rumah, sejak Mac lalu.

Bagaimanapun, perbuatan lelaki berusia 36 tahun itu terbongkar apabila remaja berusia 17 tahun terbabit membuat laporan polis selepas tidak tahan dimarah ibunya kerana sering tidak pulang ke rumah.

Difahamkan, mangsa dirogol ketika menumpang tidur di rumah sepupunya di sebuah kampung di Beaufort, pada 4.30 pagi 1 Mac lalu.

Menurut sumber, suspek tinggal bersendirian kerana isteri dan dua anaknya berada di Kota Kinabalu serta dalam proses perceraian.

Katanya, mangsa tinggal sendirian kerana ibunya yang baru lepas bersalin berada di rumah neneknya di Papar dan bapanya pula bekerja di Kota Kinabalu serta hanya pulang ke rumah seminggu sekali.

“Disebabkan situasi itu dan rumah mereka bersebelahan, suspek mengajak mangsa tinggal di rumahnya dengan alasan risau dengan keselamatan mangsa.

“Ketika kejadian, suspek tidur di ruang tamu manakala mangsa tidur di sebuah bilik, namun pintu tidak ditutup atas arahan suspek dengan alasan mahu berkongsi penghawa dingin yang ada di bilik mangsa tidur.

“Bagaimanapun, suspek masuk ke bilik ketika mangsa tidur sebelum merogolnya sambil memberi amaran supaya tidak memberitahu kepada sesiapa mengenai kejadian itu,” katanya.

Sejak kejadian itu, mangsa sering keluar dari rumah dan tidak pulang sehingga dua malam kerana trauma, namun sering dimarah ibunya sebelum menceritakan kejadian itu dan membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan suspek sudah ditahan dan direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: May 1, 2018 @ 2:05pm
d