mutakhir

Polis pun nak menyamun ke?

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

ENAM anggota polis berpangkat Koperal dan Lans Koperal ditahan awal pagi hari ini, selepas dipercayai terbabit dalam kejadian samun di restoran dan kedai runcit di Jalan MP1 Matang Pagar, Sungai Buloh, malam Ahad lalu.

Dalam kejadian 9 malam itu, enam suspek berusia 28 hingga 35 tahun berkenaan dikatakan tiba di restoran di lokasi kejadian dengan menaiki dua kereta iaitu Perodua Myvi dan Proton Persona.

Menurut sumber, semua suspek termasuk dua daripada mereka memakai ‘vest’ polis masuk ke dalam restoran berkenaan dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

Katanya, seorang daripada mereka mengacu pistol ke arah juruwang restoran berkenaan yang juga warga asing, manakala tiga lagi menyelongkar bilik serta kaunter sebelum beredar selepas mengambil wang RM4,000.

“Beberapa minit kemudian, keenam-enam suspek berkenaan memasuki kedai runcit terletak bersebelahan dengan restoran terbabit dengan memperkenalkan diri sebagai anggota polis dan mahu melakukan pemeriksaan permit kerja serta pasport.

“Dua daripada suspek menyuruh pekerja dan pelanggan ke bahagian belakang kedai runcit terbabit untuk pemeriksaan, sementara tiga yang lain menyelongkar kedai dan kaunter," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sumber berkata, sebaik mengambil wang tunai berjumlah RM3,500 dan barang seperti lima karton rokok, kad tambah nilai telefon dan jam tangan berjenama di dalam kedai runcit itu, mereka melarikan diri menaiki dua kereta terbabit.

“Hasil maklumat diperolehi, polis menahan enam anggota polis yang bertugas di Unit Simpanan Persekutuan (FRU) Kuala Lumpur dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras, dalam dua serbuan berasingan di sekitar Kuala Lumpur, awal pagi hari ini.

“Berdasarkan soal siasat awal, mereka mengaku terbabit dengan kes berkenaan dan mendapat habuan kad tambah nilai dan wang tunai berjumlah RM120 setiap seorang hasil kegiatan samun.

“Semakan mendapati seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

Difahamkan semua suspek direman enam hari bermula hari ini hingga 6 Mei nanti bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan menggunakan senjata.

Disiarkan pada: May 1, 2018 @ 5:27pm
d