mutakhir

Pasar Masjid Tanah bakal dinaik taraf [METROTV]

Oleh Norizzah Baharudin

PERUNTUKAN berjumlah RM500,000 sudah diluluskan bagi kerja membaik pulih dan menaik taraf Pasar Masjid Tanah di Alor Gajah, yang dijangka siap hujung tahun ini bagi menjamin keselesaan peniaga dan pengunjung.

Melalui perancangan itu, penstrukturan semula ruang niaga akan dibuat bagi menempatkan peniaga barangan basah dan buah-buahan di lokasi khusus.

Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Masjid Tanah Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, permohonan yang dibuat melalui Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak beberapa bulan lalu sudah diluluskan.

“Berita gembira ini sekali gus menjamin kerja menaik taraf Pasar Masjid Tanah yang tentunya memberi manfaat kepada peniaga serta masyarakat di sekitarnya.

“Kita menjangkakan kerja membaik pulih serta menaik taraf pasar ini dapat disiapkan pada tahun ini yang mengambil masa kira-kira tiga bulan,” katanya pada lawatan di Pasar Masjid Tanah, hari ini.

Dalam lawatan kira-kira sejam itu, Mas Ermieyati yang juga Ketua Puteri UMNO turut diiringi Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Ismail Hasim.

Mas Ermieyati berkata, satu mesyuarat khas akan diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bersama peniaga untuk mendapatkan cadangan membabitkan kerosakan dan kerja membaik pulih di pasar berkenaan.

Sementara itu, peniaga buah-buahan Mohd Fauzi Rahim, 54, berkata pihaknya berharap kerja membaik pulih pasar terbabit dapat memberi kebaikan untuk semua pihak termasuk peniaga dan pengguna.

“Kita berharap faktor keselesaan pengguna dititikberatkan bagi kerja menaik taraf pasar ini. Terdapat juga bumbung bocor yang patut diberikan perhatian,” katanya.

Peniaga ikan, Zakaria Bachik, 71, berkata keadaan laluan pasar yang agak sempit mengundang rasa tidak selesa pengguna untuk membeli barang di pasar berkenaan.

“Apabila kerja menaik taraf ini disiapkan, saya percaya pasar ini kembali menjadi tumpuan dan meningkatkan semula jualan peniaga tempatan,” katanya.

Disiarkan pada: May 1, 2018 @ 6:30pm
d