mutakhir

Det Jeneri turun padang, dekati rakyat

Oleh Adha Ghazali

WALAUPUN sibuk dengan kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), namun tanggungjawab untuk membantu masyarakat khususnya ketika berdepan saat kecemasan tidak pernah diabaikan.

Itu tugas dipikul Mahadzir Abdul Hamid selaku calon kerusi Dewan Undangan negeri (DUN) Jeneri, yang turut mengetuai Briged Sukarelawan 1Malaysia (BS1M) Sik dan Bomba Sukarela Yayasan Jariah Malaysia (YJM).

Selaku Pengerusi BS1M Sik serta Bomba Sukarela YJM, Mahadzir atau lebih dikenali Det Jeneri menyelia kira-kira 30 anggota terlatih bagi membantu kes kecemasan seperti kemalangan, kebakaran dan khidmat bakti sosial kepada masyarakat.

Beliau yang mempertahankan kerusi DUN Jeneri terbabit secara langsung apabila sering turun padang bagi menangani kes kecemasan yang diterima melalui pusat khidmat BS1M, Sik tanpa mengira masa.

Mahadzir berkata, setiap hari sekurang-kurangnya tiga kes diterima BS1M, dengan empat bulan pertama tahun ini sahaja sudah hampir 400 kes ditangani.

Mengambil contoh hari ini, katanya, beliau bersama kru ambulans BS1M membantu seorang lelaki yang tercedera ketika bermain bola sepak sebelum dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“BS1M bukan baru menangani kes sebegini, malah hampir lapan tahun sejak mula ditubuhkan pada 2010. Selain kes kecemasan, kami turut membantu dalam menyediakan khidmat ambulans bagi menghantar pesakit terlantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan secara berkala.

“Pada saya setiap rakyat berhak mendapatkan rawatan kesihatan disediakan kerajaan tapi masalahnya mereka yang tinggal jauh di pedalaman berdepan kesukaran kerana ketiadaan kenderaan serta kos tinggi untuk ke Alor Setar.

“Di sinilah kita banyak membantu dengan menghantar mereka untuk menjalani rawatan dan ia disediakan secara percuma,” katanya.

BS1M kini memiliki aset termasuk lima ambulans dan jentera bomba, selain kenderaan sokongan pelbagai jenis seperti pacuan empat roda (4WD), kenderaan pengangkut dan van untuk menyokong operasi sukarelawan, termasuk membantu ketika bencana banjir di Kelantan dan Pulau Pinang, sebelum ini.

Mengenai kelebihan BS1M, Mahadzir mengakui ia memberi kemudahan kepada beliau untuk mendekati rakyat secara lebih dekat khususnya ketika hadir untuk menangani kes kecemasan.

Disiarkan pada: May 1, 2018 @ 7:39pm
d