mutakhir

Nurul Izzah tak mampu, 'lari' ke Permatang Pauh

Oleh Manirajan Ramasamy dan Rohaniza Idris

DATUK Seri Najib Razak menyindir tindakan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang lari meninggalkan pengundi di Lembah Pantai untuk bertanding di Permatang Pauh selepas 10 tahun menjadi wakil rakyat tanpa berbuat apa-apa di kawasan tengah-tengah ibu kota itu.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, selama 10 tahun berada di Lembah Pantai, tiada apa yang di bawa pemimpin pembangkang itu yang hanya berkebolehan bercakap di Parlimen dan membuat fitnah di media sosial.

“Saya geram, kalau hendak menang pun biarlah atas fakta dan kebolehan bukannya kebolehan ‘auta’, kita hendak soal urusan periuk nasi rakyat ini diuruskan dengan baik.

“Orang berkenaan di mana sekarang? Lari angkat punggung, lari ke mana, jauh ke Permatang Pauh. Kenapa beliau tidak ada di sini, kerana beliau takut, takut apa? Takut kalah, selama 10 tahun ini, baik ke tidak dia itu di sini, “ katanya berucap di hadapan 3,000 penyokong BN dan penduduk di Taman Pantai Indah sempena Gotong Royong Perdana di Kuala Lumpur, hari ini.

Baru-baru ini, kebanyakan penduduk Lembah Pantai menyatakan mereka hilang kepercayaan terhadap Nurul Izzah kerana tidak mampu menggalas tugas sebagai wakil rakyat di kawasan yang diberi mandat dalam tempoh dua penggal ini.

Selain itu, anak sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim itu juga didakwa menggunakan taktik ‘tumpang program’ bagi memperlihatkan dirinya turun kawasan untuk berjumpa rakyat.

Ketua Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Abdl Hamir Othman berkata, sepanjang tempoh 10 tahun menjadi pemimpin di kawasan itu, tiada sebarang program dilakukan untuk rakyat sebaliknya hanya dilihat turun padang menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) untuk berkempen saja.

Mengiringi Perdana Menteri hari ini, calon BN bagi Parlimen Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Pengerusi BN Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga calon BN di Putrajaya dan calon BN di Seputeh, Chan Quin Er.

Turut bersama dua anak beliau, Nooryana Najwa dan Norashman.

Najib turut mengumumkan peruntukan RM1 juta diberikan kepada Apartmen Pantai Indah bagi penyelenggaraan kawasan kediaman berkenaan.

Selain Nurul Izzah, ramai antara pemimpin pembangkang yang berpindah kawasan pada PRU-14, termasuk Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang bertukar dari kerusi Permatang Pauh ke Pandan; Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berpindah dari DUN Jengka ke Parlimen Kubang Kerian; Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu mencuba nasib di Parlimen Kota Raja dari Parlimen Pendang dan empat pemimpin utama DAP Nga Kor Ming dari Parlimen Taiping ke Teluk Intan; Liew Chin Tong dari Parlimen Kluang ke Ayer Hitam; Hannah Yeoh DUN Subang Jaya ke Parlimen Segambut dan Lim Lip Eng Parlimen Segambut ke Kepong.

Najib berkata, BN memilih calon yang boleh menguruskan hal ehwal rakyat dengan baik bukannya yang pandai membuat fitnah untuk menang pilihan raya seperti dilakukan calon pembangkang.

Katanya, pemilihan calon BN adalah berdasarkan prestasi, merit dan pilihan rakyat.

“Seperti di kawasan Lembah Pantai, beliau memilih Raja Nong Chik berdasarkan merit dan prestasi pemimpin itu bukannya atas kapasiti sebagai Ketua Bahagian saja.

“Kepemimpinan tertinggi BN pilih RNC (Raja Nong Chik) bukan mahu menebus kekalahan terdahulu sebaliknya kita yakin beliau dapat menguruskan kawasan dengan lebih baik dan memberikan kehidupan yang bertambah lebih selesa dan bermakna kepada rakyat ,” katanya.

Beliau menegaskan Pakatan Harapan satu pakatan yang rapuh, diketuai orang tua dan diperkudakan DAP untuk memecahkan undi orang Melayu.

“Pengundi sudah bijak untuk memilih kerana BN mempunyai manifesto yang lengkap. Undi BN jikamahu kerajaan nasional yang mantap, jauh lebih baik daripada pembangkang,” katanya.

tamat.

From: Rohaniza

Disiarkan pada: May 1, 2018 @ 8:05pm
d