mutakhir

Mahkamah London turut bersihkan nama UMNO

Oleh Adnan Ibrahim

KEMENANGAN awal Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam perbicaraan kes saman terhadap Sarawak Report, semalam seharusnya membersihkan imej UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, sesiapapun yang dituduh mesti membersihkan nama masing-masing sama ada ia memerlukan penghakiman di luar negara atau tidak.

Katanya, daripada segi perundangan, keputusan itu memberi gambaran positif kepada UMNO, namun persepsi masyarakat terhadapnya menjadi cabaran yang berbeza.

“Sememangnya daripada segi undang-undang tetapi undang-undang rakyat iaitu persepsi yang sepatutnya mereka kaji dahulu kerana siapa pihak luar ini nak kata macam-macam kepada negara kita.

“Tetapi janganlah sebelum kes diselesaikan ada antara mereka yang menggembar-gemburkan tuduhan dari luar sehingga menyemai kebencian dan menjejas keharmonian negara,” katanya pada sidang media selepas Program Santai Bersama Orang Asli, di Kampung Orang Asli Berasau, dekat Kluang hari ini.

Turut hadir, calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kahang, R Vidyananthan.

Semalam, Mahkamah Tinggi di London memerintahkan defendan membayar £41,400 (RM227,700) kepada Abdul Hadi sebagai kos bayaran guaman yang perlu dijelaskan dalam tempoh 14 hari.

Mahkamah juga menetapkan perbicaraan selama 12 hari mulai April 2019.

Abdul Hadi memfailkan saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown di Mahkamah Tinggi London pada 21 April 2017 lalu berkaitan laporan Sarawak Report pada 6 Ogos 2016 yang mendakwa Presiden PAS itu menerima dana RM90 juta sebagai usaha menarik sokongan parti itu menyokong Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata, landskap politik negara tidak selayaknya ditentukan pihak luar kerana mereka tidak ada hak untuk menyuarakan perkara yang mungkin di luar bidang pengetahuan.

“Saya meminta rakyat sendiri tak terikut-ikut dengan perkara ini sama ada (laporan) itu dari Thailand, Indonesia atau mana-mana sahaja kerana keputusan perlu dibuat berlandaskan fakta agar tidak dikaburi fakta palsu,” katanya.

Disiarkan pada: May 1, 2018 @ 9:10pm
d