mutakhir

Terengganu bina Universiti al-Quran

Oleh Nazdy Harun dan Faizul Azlan Razak

TERENGGANU membuka lembaran baru dalam dunia pendidikan Islam kerana bakal mewujudkan Universiti al-Quran bertaraf antarabangsa di lokasi yang sudah dikenal pasti di Kuala Berang.

Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil, Ghazali Taib berkata, universiti terbabit akan dibangunkan di atas tapak kolej swasta yang sudah tidak beroperasi, seluas 52 hektar.

Menurutnya, kedudukan universiti terbabit antara DUN Ajil dan Kuala Berang dilihat akan merancakkan lagi bidang pendidikan Islam di negeri ini selain mampu menjana ekonomi penduduk setempat apabila ia mula beroperasi.

"Kita amat berterima kasih kepada Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman kerana memberi 'hadiah' besar buat penduduk Hulu Terengganu, dengan mempersetujui penubuhan universiti itu di daerah ini.

"Selaku calon BN, saya berharap rakyat memberi mandat sepenuhnya bagi membolehkan kemajuan terus dibawa ke kawasan ini," katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, Ajil yang dahulunya hanya sebuah pekan dengan rumah kedai berdinding kayu, kini sudah berubah wajah apabila kerajaan BN mewujudkan bandar baharu fasa pertama yang sudah siap dan sedang menunggu Sijil Layak Menduduki (CF).

Katanya, dalam melengkapkan bandar baru Ajil, masjid bernilai RM11.9 juta juga akan dibina di tapak asal masjid sedia ada selain akan mewujudkan bandar satelit di kawasan Kampung Bukit Ara, di sini, yang lengkap dengan pelbagai kemudahan.

Beliau berkata, Ajil kini semakin berkembang dan apabila Universiti al-Quran beroperasi, manfaatnya amat besar buat penduduk dan sokongan padu rakyat amat diperlukan kerana setiap perancangan memerlukan masa yang cukup untuk dilaksanakan.

Disiarkan pada: May 2, 2018 @ 11:28am
d