mutakhir

Ayam oh ayam...

Oleh Mohd Rizal Abdullah

RAHSIA kebun sayur di Jalan Kwong Min-Minah, Sarikei, yang dijadikan gelanggang sabung ayam lengkap berbumbung sejak lebih sebulan lalu terbongkar selepas diserbu polis, semalam.

Serbuan dijalankan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak pada 3.30 petang hasil risikan dan maklumat awam.

Ketua JSJ Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, hasil serbuan, polis menahan 22 lelaki termasuk warga emas berusia 79 tahun yang leka menyabung ayam.

Menurutnya, apabila menyedari kehadiran polis, kumpulan terbabit bertempiaran lari ke dalam semak sebelum ditahan selepas kawasan itu dikepung.

“Polis turut menemui empat ayam hidup, dua ayam mati selain pelbagai perkakasan menyabung ayam yang digunakan kumpulan terbabit.

“Penahanan kumpulan terbabit melumpuhkan kegiatan pertaruhan sabung ayam di daerah ini yang didapati aktif lebih sebulan lalu.

“Semua yang ditahan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Sarikei untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Ordinan Mencegah Kekejaman Terhadap Haiwan 1962.

Disiarkan pada: May 2, 2018 @ 3:37pm
d