mutakhir

Bila kepala dah 'sedap'...

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

SEORANG anggota beruniform yang asyik menikmati minuman keras bersama dua rakannya memberi alasan sedang membuat penyamaran menangkap individu minum arak ketika ditahan penguat kuasa Jabatan Hal Agama Islam Terengganu (JHEAT) di sebuah restoran di Kampung Ladang, Kuala Terengganu, pagi semalam.

Dalam serbuan 1 pagi itu, lelaki berusia 40-an itu ditahan bersama dua rakannya dalam operasi dijalankan hasil risikan dan maklumat awam berhubung aktiviti tidak sihat membabitkan kaki minum arak beragama Islam.

Menurut sumber, tiga lelaki beragama Islam termasuk anggota beruniform itu sedang asyik bersama empat botol minuman keras sehingga tidak menyedari kehadiran penguat kuasa JHEAT.

Katanya, ketika soal siasat, anggota terbabit mendakwa datang ke restoran itu kerana membuat penyamaran bagi menangkap orang minum arak sedangkan hampir separuh minuman keras yang ada di botol di tangannya sudah diminum.

“Malah, seorang daripada dua lelaki yang ditahan bersama anggota beruniform itu pernah ditahan sebelum ini atas kesalahan sama.

“Siasatan mendapati restoran milik bukan Islam itu sering dikunjungi kaki minum beragama Islam untuk melepaskan gian minum arak dan menjadi pusat karaoke bagi kumpulan berkenaan.

“Tiga lelaki terbabit ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 23(1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya JHEAT, Wan Ismail Sahaimi Wan Omar ketika dihubungi mengesahkan penahanan tiga lelaki terbabit.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan dan akan mempertingkatkan operasi bagi menumpaskan kegiatan minum minuman keras dalam kalangan umat Islam.

Disiarkan pada: May 2, 2018 @ 5:08pm
d