mutakhir

Pesta dadah atas rumah bot

Oleh Nazdy Harun

TINDAKAN sekumpulan lelaki dan wanita yang menjadikan sebuah rumah bot di Tasik Kenyir, sebagai tempat untuk ‘khayal’ dadah membawa padah apabila bot itu diserbu di kawasan air terjun Sungai Sepat, Tasik Kenyir, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, serbuan dilakukan 1.30 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu bersama pasukan Gerakan Marin Tasik Kenyir.

Katanya, seramai 39 individu di atas rumah bot terbabit diarah menjalani ujian saringan air kencing sebelum 35 daripadanya positif dadah jenis amphetamine manakala empat lagi didapati negatif.

“Daripada 35 orang yang didapati positif dadah itu, 28 adalah lelaki manakala tujuh lagi perempuan berusia 18 hingga 45 tahun dan berdasarkan alamat mereka berasal dari Marang dan Kuala Terengganu.

“Dalam serbuan itu, kami mendapati pemandu dan seorang kru rumah bot terbabit turut positif dadah,” katanya.

Beliau berkata, serbuan dilakukan hasil risikan dan maklumat awam apabila mendapati sekumpulan lelaki dan wanita menjadikan rumah bot di tasik itu sebagai tempat melepaskan gian dan melakukan aktiviti tidak bermoral.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut di atas rumah bot itu yang menempatkan beberapa bilik di tingkat atas, pihaknya menemui seorang lelaki yang memiliki satu botol lutsinar mengandungi cecair kehitaman disyaki dadah yang disimpan di dalam beg galas.

“Semua yang ditahan itu dibawa ke IPD Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut.

“Hasil siasatan mendapati kumpulan terbabit sedang melakukan pesta untuk meraikan hari jadi seorang daripada mereka dan aktiviti itu bermula sejak 11 pagi kelmarin.

“Mereka mengaku mengambil dadah jenis eramin 5 dan ekstasi dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Penagih Dadah 1983,” katanya.

Beliau berkata, polis sentiasa membuat pemantauan bagi tujuan keselamatan di kawasan Tasik Kenyir dan memberi amaran kepada pihak tidak bertanggungjawab supaya tidak mencemarkan kawasan itu dengan kegiatan tidak bermoral.

Disiarkan pada: May 2, 2018 @ 5:56pm
d