mutakhir

Amaran kepada DAP, jangan main sentimen kaum

Oleh Shaarani Ismail

PERGERAKAN Pemuda UMNO memberi amaran kepada pemimpin DAP supaya berhenti dari menyemarakkan api perkauman sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun berkata, ia berikutan pelbagai insiden dan laporan yang diterima pergerakan itu berhubung budaya politik samseng pemimpin DAP yang ketika ini dilihat keterlaluan termasuk menghina dan mengeluarkan kata-kata kesat.

“Pemimpin DAP sudah menunjukkan tingkah laku biadap ini dengan menggalakkan keganasan dan membakar api perkauman.

“Pemuda UMNO mempunyai bukti terhadap apa yang diperkatakan oleh pemimpin DAP berkenaan dan mereka memperkecilkan orang Melayu dan mengakui memperkudakan beberapa pemimpin Melayu demi kepentingan politik sempit mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Media Parlimen Bagan Datuk hari ini.

Khairul Azwan berkata, pemimpin DAP seperti Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dan Hew Kuan Yau atau digelar ‘Superman’ dilaporkan sudah beberapa kali menggunakan kata-kata kesat dan bersifat menghasut dalam usaha mereka untuk menarik undi masyarakat Cina.

Beliau berkata, justeru Pemuda UMNO memandang serius perkara itu dan menolak politik kelas rendah sepanjang kempen PRU-14 berlangsung.

“Baru-baru ini, seorang warga emas yang juga ahli MCA dipukul dan ditolak oleh petugas DAP di Yong Peng dan insiden itu berlaku ketika majlis Barisan Nasional (BN) berlangsung dan ahli MCA terbabit sekadar bertindak menurunkan bendera PKR di atas pentas milik BN.

“Pentas berkenaan dipasang jentera BN dan disabotaj oleh petugas DAP dengan mengibarkan bendera PKR.

“Kami memahami apa yang ditulis dan diucap di pentas DAP dalam bahasa Mandarin dan kami orang Melayu dihina,” katanya.

Justeru katanya, pemimpin DAP yang terlampau harus menyedari bahawa mereka tidak sepatutnya memainkan api perkauman dan merosakkan keharmonian dan hubungan baik kaum semata-mata untuk berkuasa.

Disiarkan pada: May 2, 2018 @ 7:51pm
d