mutakhir

Setia ikut kempen 'Mr Senyum'

Oleh Zuhainy Zulkiffli

USIA emas tidak menghalang tiga sahabat berkempen untuk calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Jerejak.

Bagi Kuraisyah Syed Mohamad, 62, Sofiah Hassan, 63, dan Phuziah Md Noor, 63, yang juga ahli Wanita UMNO Cawangan Sungai Nibong Pantai, mereka akan membantu kempen calon DUN Pantai Jerejak, Oh Tong Keong.

Sofiah berkata, mereka sudah mengikut Tong Keong berkempen sejak Sabtu lalu dan rutin itu diteruskan setiap hari bermula dari 8 pagi sehingga 9 malam.

Katanya, mereka bagaimanapun memastikan minum banyak air, dan mendapat rehat serta tidur mencukupi bagi mengelak keletihan.

“Tiada sebarang petua bagi kekal cergas pada usia ini, hanya perlu bawa air kosong yang mencukupi.

“Kami perkenalkan Tong Keong sebagai ‘Mr Senyum’ kerana dia tetap tersenyum walaupun seharian penat berkempen,” katanya yang ditemui ketika berkempen di Kampung Sungai Nibong, Georgetown, hari ini.

Bagi Kuraisyah yang juga Ketua Wanita UMNO Cawangan Sungai Nibong Pantai, dia menganggap aktiviti mengikut calon berkempen umpama senaman setiap hari.

“Ketika berkempen dari rumah ke rumah, saya dapat bertemu semula rakan lama yang pernah tinggal di kawasan sama suatu ketika dulu.

“Pada hari mengundi nanti, saya mahu membantu menghantar pengundi uzur ke tempat pengundian dan anggap ia sebagai khidmat kepada masyarakat,” katanya.

Bagi Phuziah pula, keluarganya tidak menghalang dirinya keluar mengikut calon berkempen sehingga selesai Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Dulu ketika masih remaja, ayah dan emak sering membawa saya mengikut calon berkempen. Memang seronok kerana dengan cara ini kita dapat kenal masyarakat sekeliling.

“Berkempen hanya lima tahun sekali dan anggaplah ia sebagai sumbangan kami kepada UMNO dan BN,” katanya.

Disiarkan pada: May 2, 2018 @ 8:20pm
d