mutakhir

Hidup makin manis di Kimanis

Papar: “Saya bersyukur kehidupan saya dan keluarga sekarang lebih baik selepas dibantu kerajaan menerusi program Mini Estet Sejahtera (MESEJ). Lebih 10 tahun saya menyertai program ini di Kampung Kinolosodon.”

Demikian luah Amis Antul, 82, yang menjadi peserta tertua daripada 24 peserta dipilih menyertai MESEJ tanaman getah di Kampung Kinolosodon, Ulu Kimanis di sini.

Amis yang berasal dari Kampung Sri Serbang, Bongawan menyertai program itu sebagai seorang penoreh pada 2007 dan sejak itu terus tinggal di penempatan baharu disediakan kerajaan menerusi program berkenaan.

Kata Amis, dia menoreh getah di ladang itu lebih 10 tahun iaitu sejak ia dibuka pada 2007.

“Setakat ini tiada apa-apa masalah kecuali hujan saja menyebabkan saya tidak dapat menoreh,” katanya.

MESEJ Kampung Kinolosodon yang dirasmikan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman pada April 2015 dibuka menerusi dua fasa dengan fasa pertama seluas kira-kira 100 hektar pada 2007 manakala fasa kedua seluas 150 hektar dimulakan pada 2010.

Program dilaksanakan menerusi Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah dengan pemantauan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) itu terletak di kawasan Banjaran Crocker, kira-kira lima kilometer dari simpang Jalan Kimanis-Keningau di sini.

Projek itu membabitkan penanaman kira-kira 40,000 pokok getah bagi setiap fasa selain pembinaan 33 unit rumah ditawarkan kepada peserta yang tersenarai dalam e-Kasih dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan, Pantai Manis dan Kawang.

Dua rakan Amis, Molitin Atun, 61, dari DUN Kawang dan Joelius Kulai, 45, dari DUN Pantai Manis turut bersyukur dipilih menyertai program itu terutama kerana diberikan kebun getah untuk diusahakan, selain rumah.

Pengurus MESEJ Kinolosodon, Lawrrithanoe Jeckley, 32, berkata penanaman dan penjagaan pohon getah dilakukan LIGS sehingga pokok matang dan boleh ditoreh sebelum diserahkan kepada peserta berdasarkan nama yang diluluskan Pejabat Daerah Papar.

“Setiap peserta diagihkan kawasan penorehan yang mengandungi kira-kira 1,000 pokok getah. Sebelum itu, mereka diberi kursus mengenai cara menoreh dan penjagaan pokok getah terlebih dahulu.

“Dalam sebulan, kebiasaannya setiap peserta hanya dapat menoreh antara 15 hari hingga 18 hari kerana faktor cuaca memandangkan taburan hujan yang tinggi di kawasan ini selain perlu menggilirkan torehan bagi memastikan pengeluaran lateks pokok kekal sama,” katanya.

Sementara itu, Pemaju Mukim Kimanis, Ambrose Lojumin, 50, berkata pembukaan MESEJ itu memberi gambaran jelas komitmen kerajaan dalam usaha membantu penduduk miskin.

“Sebagai penduduk yang juga berasal dari Kampung Kinolosodon, saya bangga kerana kerajaan mempunyai rancangan terbaik dalam membantu penduduk miskin dan berpendapatan rendah bagi memperbaiki taraf sosio ekonomi mereka,” katanya.

MESEJ ialah projek pertanian sama ada tanaman getah atau kelapa sawit, selain akuakultur yang diwujudkan kerajaan negeri bagi membantu ketua isi rumah miskin tegar (KIRMT) di negeri ini dengan mengambil golongan itu sebagai peserta projek.

Disiarkan pada: May 3, 2018 @ 9:16am
d