mutakhir

'Hati saya mudah tersentuh...'

Oleh Amin Ridzuan Ishak

PENGALAMAN menjaga anak yang lumpuh sejak 21 tahun lalu membolehkan Datuk Wong Kean Hwee merasai sendiri kesukaran dihadapi mereka yang senasib.

Sebelum menceburi bidang politik, calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Kuantan itu bergiat aktif dalam kerja kebajikan yang bermula selepas anak perempuannya lumpuh kerana jangkitan kuman pada bahagian otaknya ketika berusia enam tahun.

Pada program ziarah di Kampung Peramu, dekat Kuantan, semalam, Wong sempat melawat rumah Rahani Abd Rahman, 60, yang terlantar sejak enam bulan lalu akibat serangan angin ahmar kerana berlakunya pendarahan di bahagian kepala warga emas itu.

Beliau yang tersentuh hati melihat keadaan Rahani memberikan kata-kata semangat dan menasihatkan ahli keluarganya supaya memberikan rawatan fisioterapi bagi memastikannya dapat bergerak selain merujuk ke hospital mengikut waktu ditetapkan.

"Anak perempuan saya lumpuh ketika berusia enam tahun selepas berlaku jangkitan kuman pada sebahagian otaknya, sudah 21 tahun dia hanya terlantar dan kami sekeluarga menjaganya untuk memberi keselesaan kepadanya.

"Sebab itu, apabila melawat mereka yang mengalami penyakit kronik sehingga menyebabkannya terlantar, hati saya mudah tersentuh lebih-lebih lagi jika keluarga itu berpendapatan rendah.

"Banyak kos perlu ditanggung untuk menjaga ahli keluarga yang sakit, atas dasar itu saya aktif dalam kebajikan selama 10 tahun kerana mahu membantu mereka yang kurang berkemampuan sebelum mengambil keputusan menceburi bidang politik," katanya ketika ditemui NSTP.

Wong berkata, beliau akan meneruskan agenda membantu golongan kurang berkemampuan yang ditimpa musibah seperti penyakit kronik sekiranya diberikan amanah oleh rakyat di Parlimen Kuantan pada pilihan raya, 9 Mei depan.

"Pada masa sama, saya mahu menggalak dan mendidik nilai bantu-membantu dalam kalangan masyarakat," katanya.

Dalam pada itu, Wong yang kali pertama bertanding pada pilihan raya umum berkata, angin perubahan sudah dapat dirasainya di Parlimen Kuantan menerusi kempen yang dijalankan sejak penamaan calon 28 April lalu.

"Ia satu perkembangan positif dan BN mempunyai peluang untuk merampas semula kerusi Parlimen Kuantan daripada pembangkang sekiranya trend sokongan terus meningkat," katanya.

Disiarkan pada: May 3, 2018 @ 10:43am
d