mutakhir

Risau bila hujan

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

“SETIAP hari saya tidur tidak lena kerana bimbang berlaku runtuhan tanah lagi sekiranya hujan,” kata Mohd Rafiee Abdul Hamid, 53, pemilik rumah yang rosak kerana tanah runtuh di Jalan Gombak Batu 10 1/2 Kampung Sungai Salak, Gombak, Selasa lalu.

Dalam kejadian 4.30 pagi itu, lantai serta dinding di bahagian dapur dan bilik mandi rumah Mohd Rafiee retak berikutan kejadian tanah runtuh berkenaan selepas paip utama milik Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) yang terletak berhampiran kediaman mereka pecah.

Mohd Rafiee berkata, dia menyedari kejadian itu selepas dimaklumkan oleh anaknya yang melihat dapur serta bilik air di rumah berkenaan dipenuhi air berikutan paip pecah.

“Saya kemudian bergegas mengarahkan isteri dan anak-anak mengalihkan barang di bahagian dapur dan bilik mandi yang ditenggelami air sebelum melihat keadaan paip pecah di hadapan rumah.

“Ekoran itu, kira-kira 6 pagi, isteri memaklumkan lantai dan dinding dapur serta bilik air retak kerana tanah runtuh di belakang rumah kami yang terletak berhampiran sungai,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dia yang juga pemandu lori berkata, sebaik pihaknya memaklumkan perkara itu kepada pihak berkuasa, terdapat kontraktor datang ke rumahnya untuk melakukan pemeriksaan.

“Saya dimaklumkan rumah ini masih selamat diduduki, cuma bahagian dapur dan bilik mandi saja yang tidak boleh digunakan. Malah, kami perlu menutup lubang pada lantai dan dinding yang rosak menggunakan kayu buat sementara waktu.

“Kejadian ini juga sudah dimaklumkan kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang memaklumkan akan menyerahkan laporan pemeriksaan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, keadaan hujan pada setiap petang sejak kebelakangan ini menyebabkan dia sentiasa risau terhadap keselamatan isteri dan anak-anaknya ketika mereka berada di dalam rumah berkenaan.

“Insiden tanah runtuh ini adalah kali pertama berlaku sejak 33 tahun kami menetap di sini. Saya bimbang dengan keadaan cuaca dan hujan yang tidak menentu setiap hari akan menyebabkan runtuhan tanah semakin teruk.

“Saya berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan masalah ini bagi mengelakkan keadaan runtuhan tanah semakin teruk dan tidak berulang semula,” katanya.

Disiarkan pada: May 3, 2018 @ 11:57am
d