mutakhir

'Tiada niat sakitkan hati sesiapa...'

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

PADAH membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu menggunakan aplikasi Facebook, seorang datuk empat cucu didenda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Komunikasi palsu itu berhubung laporan rampasan kontena berisi daging kambing yang didakwa bercampur daging babi.

Hakim Zaman Mohd Noor menjatuhkan hukuman itu terhadap Azizan Ahmad, 64, selaku orang kena saman (OKS) selepas dia mengaku salah sebaik saja pertuduhan dibacakan kepadanya.

Pesara di sebuah jabatan kerajaan itu turut berdepan hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

OKS membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Azizan didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi Facebook miliknya secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, pada 6.23 petang, 20 Julai 2017.

Pautan itu kemudian telah dibaca di alamat restoran Starbucks AEON Alpha Angle, Bandar Baru Wangsa Maju di Kuala Lumpur, jam 10 pagi, 1 Ogos tahun sama.

OKS didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Norhani Mohd Adzhar, manakala OKS tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Azizan merayu kepada mahkamah supaya diberikan hukuman yang ringan dengan mengambil kira dia sudah empat tahun bersara dan kini menanggung dua isteri dan ibu yang sudah tua.

" Saya mohon maaf kepada mahkamah dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan ini. Saya tiada niat sakitkan hati sesiapa," katanya.

Norhani bagaimanapun memohon mahkamah memberikan hukuman denda RM2,000 iaitu hukuman yang sama dengan kes-kes terdahulu.

Disiarkan pada: May 3, 2018 @ 2:06pm
d