mutakhir

Tak pernah 'miss' mengundi

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

RABU depan adalah kali ke-14 bagi Hassan Suradi, 97 dan isteri, Tiami Piei, 93, di FELDA Sungai Lui, Jempol, mengundi dalam Pilihan Raya Umum (PRU).

Hassan dan Tiami adalah antara peneroka terawal tanah rancangan berkenaan yang dibuka pada 1960 atau tiga tahun selepas FELDA diwujudkan hasil cetusan idea Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein.

“Kalau diberikan kesihatan yang baik pada Rabu depan, saya dan isteri sudah tentu akan ke pusat undi kerana tidak mahu ketinggalan mengundi untuk kali ke-14,” katanya ketika menerima kunjungan calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri ( DUN ) Sungai Lui, Mohd Razi Mohd Ali sempena program ziarah restu di sini, hari ini.

Bapa kepada 11 anak itu juga bersyukur kerana beliau dan isteri tidak pernah tertinggal melaksanakan tugas sebagai pengundi dalam PRU dan berharap dapat meneruskannya pada PRU-14 ini.

“Saya tak ingat di mana kali pertama mengundi tetapi di dalam Negeri Sembilan. Ketika itu tak banyak parti politik bertanding dan saya ingat parti guna lambang kapal layar yang menang.” katanya.

Hassan dan isteri yang juga veteran UMNO Jelebu berkata, suasana kempen sekarang amat jauh berbeza berbanding dahulu tetapi dia berbangga kerana calon BN masih sempat menyantuni mereka berdua walaupun mempunyai jadual yang padat.

“Saya gembira dikunjungi Mohd Razi dan berharap BN yang diwakilinya akan beroleh kemenangan, sekali gus meneruskan pelbagai agenda membantu penduduk di sini,” katanya yang mempunyai 30 cucu dan 10 cicit.

Sementara itu, seorang daripada anak Hassan, Jamaliah, 56, berkata, ayah dan ibunya masih sihat dan boleh berjalan biarpun usia mereka lebih 90 tahun.

Katanya, ayahnya masih boleh membaca surat khabar dengan baik, namun pendengaran sudah berkurangan.

“Saya tahu, ayah dan ibu tidak mahu melepaskan peluang untuk mengundi dan berharap sentiasa diberi kesihatan yang baik oleh Allah SWT bagi membolehkan mereka menunaikan tanggungjawab itu,” katanya.

Disiarkan pada: May 3, 2018 @ 3:11pm
d