mutakhir

Terima kasih, isteri...

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

ISTERI menjadi sumber kekuatan bagi calon muka baharu Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang, Noor Azmi Yusof, 51, sepanjang mengharungi tempoh berkempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini

Bekas guru besar itu sentiasa ditemani Poziah Samsudin, 51, turun padang bagi membantu menggerakkan jentera kempen sekali gus berusaha mengekalkan kemenangan BN di kawasan itu.

“Saya menceburi dunia politik pada 2013 sebagai Ketua UMNO Cawangan Kampung Geylang di Simpang Pertang. Sejak itu, isteri tidak pernah jemu membantu saya kerana dia juga adalah Setiausaha Wanita UMNO cawangan,” katanya.

Menurutnya, mereka bersama-sama menggerakkan parti dan turun ke segenap pelosok kampung bagi bertemu rakyat dan membantu menyelesaikan masalah berbangkit.

“Sebaik diumumkan sebagai calon PRU-14 pada 22 April lalu, isteri teruja dan menyatakan dia akan sentiasa membantu saya sepanjang berkempen.

“Kami berkempen bersama dan dia mengikuti ke mana saja saya pergi. Isteri paling rapat dan sering memberikan semangat, dorongan serta bantuan, malah menjadi tempat meluahkan masalah,” katanya.

Poziah yang juga jururawat di Klinik Kesihatan Simpang Durian, Jelebu, turut menjalankan program berasingan bersama Wanita UMNO bagi memastikan kemenangan BN di kawasan terbabit.

“Sepanjang 11 hari berkempen, saya mengamalkan pengambilan makanan tambahan untuk lebih bertenaga. Saya juga akan bersenam setiap pagi untuk menjaga kesihatan,” kata bekas guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Buloh, di sini.

Bapa kepada enam anak itu turut menafikan dirinya seorang yang garang walaupun dia bekas guru besar.

“Muka saya memang nampak bengis, namun itu anugerah Allah SWT. Bersama rakyat, saya akan sentiasa mesra untuk mengambil tahu masalah mereka,” katanya.

Noor Azmi yakin mengekalkan kemenangan di DUN terbabit yang disandang Ketua UMNO Bahagian Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias.

Disiarkan pada: May 3, 2018 @ 4:24pm
d