mutakhir

Sesal si pencuri

Oleh Sarah Zulkifli

GARA-gara mencuri lima helai kemeja-T yang kesemuanya berjumlah RM598 di butik pakaian di kompleks beli-belah Sunway Pyramid, dua rakan dipenjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini.

Majistret Nor Ariffin Hisham menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Hafizudin Ismail, 24, dan Razmie Razali, 23, selepas masing-masing mengaku bersalah sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkap iaitu 28 April lalu.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama didakwa mencuri lima helai baju-T milik kedai Ripcurl keseluruhannya berjumlah RM598 di kompleks beli-belah Sunway Pyramid, di sini, pada 7 malam, 28 April lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kali kedua atau kemudian hendaklah dipenjara dan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan ia kesalahan pertama selain sudah menyesal.

Timbalan Pendakwa Raya, Fazeedah Faik memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat bahawa kesalahan sebegini adalah berat.

Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh yang dalam keadaan mencurigakan mengambil pakaian itu lalu masuk ke dalam bilik persalinan.

Mereka meletakkan pakaian itu di dalam beg kertas sebelum beredar meninggalkan butik Ripcurl sebelum pekerja butik itu menahan kedua-dua tertuduh.

Hasil pemeriksaan mendapati, kedua-dua tertuduh tidak membuat bayaran kesemua baju-T itu.

Disiarkan pada: May 3, 2018 @ 5:15pm
d