mutakhir

'Dentuman kuat sebelum bumbung tercabut'

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

“SAYA sedang berehat sebelum terdengar dentuman kuat dan mendapati bumbung rumah tercabut diterbangkan ribut,” kata Mohamad Kassim Abdullah, 50, penduduk Kampung Tebuk Panchor, Bagan Serai, menceritakan kediamannya rosak akibat ribut, petang semalam.

Dalam kejadian 4.30 petang itu, 14 rumah penduduk lain turut rosak dilanda ribut dan kediaman Mohammad Kassim antara yang terjejas teruk.

Menceritakan detik cemas itu, Mohammad Kassim berkata, ketika kejadian dia bersama dua anak dan isteri serta dua bayi berada dalam rumah.

“Ketika kejadian, saya sedang berehat bersama dua anak, manakala isteri Maznah Sazili, 46, sedang mengasuh dua anak jiran berusia dua tahun dan tiga bulan.

“Waktu itu hujan lebat disusuli angin kencang dan tiba-tiba kami terkejut mendengar bunyi seperti letupan di bahagian bumbung rumah dan tidak lama kemudian, kelihatan air hujan menitis menembusi siling rumah.

“Saya dan anak keluar rumah dan terkejut apabila mendapati bumbung rumah yang baru ditukar beberapa bulan lalu diterbangkan angin,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Mohamad Kassim berkata, dia bersyukur kerana tiada kecederaan berlaku terhadap ahli keluarganya serta anak jagaan, namun mengalami kerugian RM4,000 berikutan bumbung rosak.

Sementara itu, kejadian terbabit turut mendapat simpati dua calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali daripada Barisan Nasional (BN) dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Adam Asmuni yang turut hadir menziarah semua mangsa ribut berkenaan.

Disiarkan pada: May 3, 2018 @ 6:12pm
d