mutakhir

Wartawan veteran meninggal dunia

Oleh Poliana Ronnie Sidom

WARTAWAN veteran akhbar Cina ditemui meninggal dunia di pejabatnya di Jalan Old Slip Way, Sandakan, hari ini.

Tam Say Chong, 68, wartawan Overseas Chinese Daily News (OCDN) dipercayai diserang penyakit jantung di pejabatnya di tingkat dua bangunan berkenaan ketika bekerja bersendirian.

Difahamkan, isteri dan tiga anaknya menetap di Kuala Lumpur.

Seorang daripada anaknya sebelum ini dikatakan ada meminta bantuan orang ramai untuk mengesan bapa mereka yang didakwa tidak dapat dihubungi sejak 1 tengah hari, Isnin lalu.

Seorang daripada rakan wartawan mangsa kemudian pergi ke pejabat terbabit untuk memeriksa sebelum mendapati kipas dan lampu pejabat masih terpasang lalu mendapatkan bantuan bomba bagi membuka pintu pejabat.

Ketua Zon Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Anddre Andrew, berkata bomba menerima panggilan pada 8.32 pagi sebelum menemui mangsa dalam keadaan tertiarap dan tidak sedarkan diri.

“Pegawai hospital yang berada di lokasi kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Difahamkan, Say Chong bekerja dengan OCDN lebih 40 tahun dan menjadi pengerusi Persatuan Wartawan dan Pekerja Akhbar Sandakan.

Disiarkan pada: May 3, 2018 @ 6:51pm
d