mutakhir

Didenda nak 'pecahkan' muka kekasih

Oleh Sarah Zulkifli

AKIBAT mengugut untuk ‘memecahkan’ muka teman wanitanya, lelaki didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini.

Majistret Nor Ariffin Hisham menjatuhkan hukuman itu ke atas S Logeswaran, 33, pembantu pengurus syarikat swasta, selepas tertuduh mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mahkamah turut memerintahkan Logeswaran dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan ugutan jenayah dan mendatangkan ketakutan ke atas K Punnagai, 30, dengan mengeluarkan kata-kata ugutan untuk ‘memecahkan’ muka teman wanitanya dan meninggalkan parut kekal.

Dia melakukan perbuatan itu di Kelana Jaya View Tower, Jalan SS 6/2, Petaling Jaya, di sini pada 1.14 pagi, 5 November 2017.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, peguam Datuk Suraj Singh yang mewakili tertuduh memberitahu mahkamah ugutan itu berlaku hanya berpunca dari perselisihan faham antara tertuduh dan teman wanitanya dan campur tangan keluarga mangsa, namun tidak ada sebarang kecederaan mahupun kerugian dalam kejadian itu.

“Tertuduh mempunyai kerjaya yang baik dan bukan seorang penjenayah, dia berjanji tidak akan mengulangi kesalahannya, dan mohon hukuman ringan,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Fazeedah Faik memohon tertuduh dikenakan hukuman berbentuk pengajaran dengan mengambil kira ugutan dilakukan mendatangkan ketakutan kepada mangsa walaupun tidak membabitkan sebarang kecederaan.

Disiarkan pada: May 3, 2018 @ 7:05pm
d