mutakhir

Pengalaman 'Wira Angkasa' Setiawangsa

Oleh Ahmad Suhael Adnan

TAN Sri Dr Zulhasnan Rafique mungkin lebih dikenali sebagai bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) yang pernah berkhidmat sebagai wakil rakyat antara 1999 hingga 2013.

Hakikatnya, calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Setiawangsa itu juga adalah bekas pegawai tentera yang pernah berjuang mempertahankan tanah air daripada ancaman komunis.

Zulhasnan adalah bekas juruterbang jet pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) antara 1973 hingga 1985 dengan memegang pangkat terakhir sebagai Mejar sebelum bersara.

Sepanjang 12 tahun berkhidmat, beliau dikenali sebagai juruterbang yang disegani dengan kemampuan menerbangkan pelbagai jenis pesawat tempur, antaranya Bulldog, Tebuan dan F5-E.

Kehebatannya terbukti apabila menjadi juruterbang pertama bukan warga Britain memenangi Piala Jet Provost dan ‘Central Flying School Trophy’ ketika menjalani latihan jurulatih penerbangan jet pejuang di Royal Air Force (RAF) Leeming, United Kingdom.

Selepas bersara, Zulhasnan menerima tauliah sebagai jurulatih penerbangan pesawat tempur TUDM Kelas A, selain Pengajar Senjata Pejuang (FWI) daripada Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF).

Kisah pembabitan beliau ketika menentang komunis dikongsi bekas juruterbang TUDM Brig Jen (B) Datuk Abdullah Mohamad,yang menyifatkan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa itu sebagai juruterbang berdedikasi dan penuh bersemangat untuk berkhidmat.

Katanya, Zulhasnan terbabit dalam pelbagai operasi menggempur pengganas komunis apabila TUDM ditugaskan membantu pasukan Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan membekalkan serangan udara, khususnya di sempadan Malaysia-Thailand, termasuk dalam Ops Gubir dan Ops Daya Musnah.

“Ketika itu, kami menggunakan pesawat tempur F5-E Tiger II dan Tebuan untuk melancarkan ‘Folding Fin AC Rockets’ (FFAR) serta bom seberat 227 kilogram dan tembakan mesingan bagi membuka jalan kepada pasukan darat.

“Ia tugas mencabar dan berbahaya kerana kami terpaksa terbang rendah berhampiran kawasan pergunungan dan gaung ketika membuat serangan, selain terdedah kepada tembakan musuh,” katanya.

Bekas Panglima TUDM Jen (B) Tan Sri Rodzali Daud, menyifatkan Zulhasnan sebagai juruterbang berkepakaran tinggi dan mampu mengendalikan pesawat dalam apa juga keadaan.

“Saya mengenali beliau sejak menjalani latihan di Kadet Wing Kolej Tentera Diraja (RMC) pada 1973 dan bersama-sama dengan rakan lain, kami berusaha meningkatkan kapasiti tempur dan daya saing TUDM ketika itu.

“Zulhasnan dapat menguasai proses pembelajaran dan penerbangan dengan cepat, sekali gus membolehkannya mencapai kejayaan dan ditauliahkan sebagai jurulatih penerbangan pesawat juang TUDM,” katanya.

Sementara itu, bekas Ketua Staf Operasi TUDM, Mejar Jeneral (B) Datuk Abdul Malek Sahar, turut mengimbau kehandalan Zulhasnan mengendalikan pesawat tempur.

“Ketika itu, saya adalah Komander Skuadron dan beliau adalah Flight Komander yang mengikuti skuadron F5-E.

“Sebagai juruterbang jet pejuang, beliau seorang yang handal dan saya tidak terkejut apabila beliau mencapai pelbagai kejayaan di luar bidang ketenteraan,” katanya.

Disiarkan pada: May 3, 2018 @ 8:47pm
d