mutakhir

Tarikh urus kes calon PRU14 24 Mei [METROTV]

Oleh Mohamed Basyir

Georgetown: Mahkamah Tinggi di sini, semalam, menetapkan 24 Mei depan sebagai tarikh pengurusan kes saman fitnah Presiden Pertubuhan India Koridor Utara (NIC) G Rajasegar terhadap dua Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) yang juga calon untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Peguam K Mahendran yang mewakili Rajasegar berkata, mahkamah menetapkan tarikh itu di hadapan Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail selepas anak guamnya membuat perubahan kecil ke atas tuntutannya.

“Perubahan berkenaan membabitkan terjemahan dalam penyataan tuntutan dan mahkamah menetapkan 24 Mei ini sebagai tarikh pengurusan kes,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah di sini, semalam.

Pada Februari lalu, Rajasegar selaku plaintif memfailkan saman fitnah itu dengan menamakan H’ng Mooi Lye dan Dr Amar Pritpal Abdullah sebagai defendan.

Dalam penyataan tuntutan itu, Rajasegar mendakwa Mooi Lye dalam satu teks pesanan ringkas menerusi aplikasi WhatsApp menyatakan plaintif menyalahgunakan kuasanya sebagai bekas Ahli Majlis MPSP.

Sementara Dr Amar Pritpal yang dinamakan sebagai defendan kedua pula mendakwa NIC adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menjana keuntungan.

Mooi Lye diwakili oleh RSN Rayer manakala Dr Amar diwakili Jason Ong Khan Lee.

Mooi Lye akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jawi manakala Dr Amar Pritpal di DUN Sungai Bakap.

Disiarkan pada: May 4, 2018 @ 9:50am
d