mutakhir

Kelompongan selatan Perak

Oleh Shaarani Ismail

Bagan Datuk: Pembinaan Kem Hutan Melintang di Bagan Datuk bukan bertujuan menambah undi Barisan Nasional (BN) seperti didakwa beberapa pihak, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, ada beberapa pihak yang mempertikaikan pembinaan kem berkenaan dan mendakwa ia dibuat untuk kepentingan kerajaan BN.

Sebaliknya katanya, pembinaan kem berkenaan kerana kelompongan di kawasan selatan Perak yang tidak mempunyai kem tentera untuk tujuan pertahanan.

“Ada yang pertikai kem di Hutan Melintang (dibina) dengan tujuan (untuk) tambah undi dan kita harus tahu kem tentera terdekat di Sungai Buluh manakala Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut.

“(Jadi) berlaku kelompongan di kawasan Perak Selatan, kerana itu kita memerlukan kem tentera berpusat di Hutan Melintang,” katanya ketika berucap pada Program Jiwa Murni Tentera Darat Malaysia di Kampung Sungai Sumun dekat sini, semalam.

Ahmad Zahid berkata, pembinaan Kem Tentera Hutan Melintang bukan saja untuk pertahanan negara malah memberi laluan kepada anggota tentera berbakti kepada masyarakat Hutan Melintang melalui Program Jiwa Murni.

“Program Jiwa Murni dijalankan ATM (Angkatan Tentera Malaysia) bersama masyarakat setempat memberi pelbagai faedah.

“Selain itu, apabila kem Hutan Melintang ini siap sepenuhnya, masyarakat Bagan Datuk akan melihat semua tentera dan ahli keluarga mereka akan tinggal di kem ini lalu menaikkan sosioekonomi khususnya di Hutan Melintang,” katanya.

Disiarkan pada: May 4, 2018 @ 10:26am
d