mutakhir

Maut digilis lori pasir

Oleh Shahrul Nizam Mohamad

PENYELIA tapak perumahan yang dalam perjalanan ke tempat kerja di Gebeng maut selepas motosikal Yamaha 135LC ditunggang bergesel dengan sebuah motosikal lain sebelum mangsa yang terjatuh digilis lori membawa muatan pasir di Jalan Kuantan-Pintasan Pelabuhan, Sungai Karang, Kuantan, hari ini.

Dalam kejadian 8 pagi itu, mangsa, Mohd Shukri Shamsudin, 32, dari FELDA Bukit Sagu 1, Kuantan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, siasatan awal mendapati, motosikal ditunggang mangsa bergesel dengan motosikal Honda NF1004-MA dinaiki dua lelaki warga Myanmar yang mengubah laluan secara mengejut dari lorong kiri ke kanan menghala ke Gebeng.

“Mangsa tidak sempat mengelak lalu bergesel dengan motosikal dinaiki dua lelaki warga Myanmar sebelum mangsa tercampak ke laluan kiri dan digilis lori membawa muatan pasir datang dari belakang.

“Dua warga Myanmar itu, Mir Ali Juhar, 20, dan Abd Rohim Habib Ullah, 30, yang bekerja sebagai buruh binaan masing-masing mengalami luka di badan.

“Mereka sudah membuat laporan di Balai Polis Trafik Kuantan sebelum diarahkan menjalani ujian air kencing di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan,” katanya.

Mohamad Noor berkata, polis turut mengambil sampel darah mangsa untuk ujian toksikologi.

Beliau berkata, ketika kejadian keadaan cuaca baik dan jalan lurus dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: May 4, 2018 @ 12:32pm
d