mutakhir

Dah 'bank in' RM10,000 tapi 'barang' tak sampai...

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

PESARA kerugian lebih RM10,000 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket ‘parcel scam’ dalam kejadian di Kuala Terengganu, Selasa lalu.

Dalam kejadian 9 pagi, wanita berusia 61 tahun yang sedang berehat di rumahnya di Kampung Manir, Kuala Terengganu, menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada individu yang memperkenalkan diri daripada syarikat kargo.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, individu terbabit memaklumkan terdapat kiriman barang untuk mangsa daripada seorang kenalan lelaki di London dan barang itu kononnya berada di Jabatan Kastam Sepang.

Beliau berkata, mangsa kemudian diminta membuat pembayaran caj penghantaran berjumlah RM1,450 sebelum dia diberikan nombor akaun sebuah bank.

“Mangsa yang teruja membuat pembayaran kira-kira satu jam kemudian sebelum dia memaklumkan kepada syarikat itu bahawa pembayaran sudah dibuat.

“Bagaimanapun, syarikat itu mengarahkan mangsa memasukkan RM1,200 lagi dengan alasan kiriman itu mengandungi sejumlah mata wang asing.

“Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa hanya mengikut arahan diberikan sebelum sekali lagi diminta membuat sejumlah pembayaran kononnya sebagai kos penghantaran barang kerana terpaksa menggunakan ‘ninja van’,” katanya.

Idris berkata, mangsa hanya mengikut arahan diberikan walaupun terpaksa membuat pembayaran tambahan kerana caj duti setem.

Katanya, mangsa sekali lagi diminta membuat pembayaran pada keesokan harinya (Rabu) kononnya sebagai kos untuk proses penghantaran barang.

“Mangsa mula mengesyaki dirinya ditipu kerana tidak menerima kiriman dijanjikan walaupun sudah mengikuti segala arahan diberikan dengan membuat lebih RM10,000 sebelum membuat laporan polis.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Disiarkan pada: May 4, 2018 @ 12:56pm
d