mutakhir

Warga polis tunaikan tanggungjawab

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

SERAMAI 111,702 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara dijangka hadir membuang undi bagi proses pengundian awal akan dijalankan esok sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, daripada jumlah itu, 106,042 membabitkan anggota serta pegawai berkhidmat di 14 kontinjen seluruh negara yang akan membuang undi di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

Katanya, bakinya seramai 5,660 membabitkan anggota serta pegawai yang akan melaksanakan proses pengundian awal di Mes Pegawai dan Rumah PERKEP Bukit Aman.

“Proses pengundian awal ini akan dijalankan bermula 9 pagi hingga 5 petang serta akan dihadiri bekas Ketua Polis Negara iaitu Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Tan Sri Ismail Omar.

“Malah, kita jangka proses pengundian awal esok akan turut dihadiri calon bertanding pada PRU kali ini yang ingin melihat bagaimana ia dijalankan,” katanya pada Sidang Media Khas di Bukit Aman, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd dan Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Seri Abdul Ghafar Rajab.

Mohamad Fuzi berkata, proses pengundian awal esok dijangka akan disertai 7,695 pesara polis yang berdaftar sebagai pengundi awal.

Beliau berkata, pesara polis berkenaan sepatutnya mengundi sebagai pengundi awam, namun mereka tidak mengisi borang pengundi awam dan kekal didaftarkan sebagai pengundi awal.

Sementara itu, Mohamad Fuzi berkata, seramai 5,854 warga PDRM terbabit dalam proses pengundian secara pos atau undi pos yang dijalankan selama dua hari bermula hari ini hingga esok.

Katanya, daripada jumlah itu, 4,058 membabitkan warga PDRM di 14 kontinjen seluruh negara manakala 1,796 akan membuang undi secara pos di Bukit Aman.

Disiarkan pada: May 4, 2018 @ 6:18pm
d