mutakhir

50% polis

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Putrajaya: Lima puluh peratus daripada pembinaan 2,492 unit kediaman Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) Kenanga dan PPA1M Cempaka di Presint 19 di sini, diperuntukkan kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutama yang belum memiliki kediaman.

Rumah itu bersaiz 850 kaki persegi, 1,000 kaki persegi dan 1,200 kaki persegi dijual dengan harga RM120,000, RM220,000 dan RM260,000 serta dijangka siap sepenuhnya pada 2021.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, kerajaan menghargai sumbangan dan jasa penjawat awam dalam menjalankan tugas terutama anggota keselamatan khususnya PDRM.

“Dalam bajet 2018, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersetuju menawarkan 10,000 unit PPA1M khas kepada anggota PDRM, jadi projek Kenanga dan Cempaka di sini, menawarkan 50 peratus daripada unit dijual kepada mereka.

“Malah, saya berbincang dengan Ketua Polis Negara dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), jika ada tanah sesuai di bawah PDRM atau KDN, kami boleh membina lebih banyak rumah PPA1M untuk anggota PDRM,” katanya pada sidang media Majlis Pecah Tanah PPA1M Kenanga dan Cempaka di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Seri Hasim Ismail dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda.

Pada majlis itu turut diadakan upacara menandatangani perjanjian dua skim iaitu PPA1M Kenanga yang dibangunkan Kop Mantap dengan Protasco Development Sdn Bhd dan PPA1M Cempaka dibangunkan GN Homeland Sdn Bhd.

Dalam pada itu, Ali berkata, kerajaan menyasarkan membina 200,000 unit rumah di bawah Skim PPA1M dan hingga hari ini, 141,774 unit diluluskan pembinaan.

Katanya, 7,180 unit siap manakala 81,503 unit dalam pelbagai peringkat pembinaan.

“Bagi kawasan Putrajaya, 2,943 unit PPA1M sudah didiami di Presint 6, 11 dan 17 malah, kunci mula diserahkan untuk 2,671 unit dalam tempoh Mei ini hingga Ogos membabitkan projek Melinjau di Presint 11, projek Jintan di Presint 16 dan projek Pudina di Presint 17.

“Selain itu, 5,216 unit dalam pembinaan di Presint 5, 15, 17 dan 18 manakala, 9,872 unit termasuk 2,492 unit pada hari ini di peringkat perancangan untuk dimulakan pembinaan,” katanya.

Sementara itu, beliau mengumumkan caj penyenggaraan semua unit PPA1M di Putrajaya diturunkan.

Disiarkan pada: May 5, 2018 @ 5:42am
d