mutakhir

Bantu penduduk tingkat rezeki

Oleh Nurul Amanina Suhaini dan Ernalisa Othman

Johor Bahru: Projek Ekonomi Rakyat (ERA) Johor yang diperkenalkan kerajaan negeri menjadi antara usaha meningkatkan pendapatan golongan kurang berkemampuan untuk menyertai kegiatan ekonomi.

Projek ERA Johor itu menggunakan konsep mudah, senang dijaga dan dilaksanakan secara berkumpulan yang bukan saja menjadi platform terbaik usahawan memasarkan produk mereka, malah mengukuhkan kedudukan ekonomi setempat.

Inisiatif yang diilhamkan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin itu membabitkan empat bidang keusahawanan iaitu tanaman cili fertigasi, cendawan tiram kelabu, pembuatan ais krim dan penternakan lebah kelulut.

Projek ERA Johor juga adalah antara enam inisiatif yang dilaksanakan Pusat Pembangunan Usahawan Johor (EDC Johor) dengan peruntukan RM6 juta dengan dua daripadanya tertumpu kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) iaitu Insentif Bantuan PKS Johor dan Program Misi Jejak PKS.

Bagi memastikan keberkesanan projek itu, ia dipantau pelbagai agensi berkaitan seperti Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim (YPKDT), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Jabatan Pembangunan Wanita (JPW).

Mentor projek berkaitan akan melatih peserta, memberi pelbagai kelengkapan pertanian dan bimbingan, selain membeli semula hasil pertanian dengan syarat ditetapkan.

Susulan kejayaan projek perintis program itu yang dijalankan di Pasir Gudang, tahun lalu, Projek ERA Johor diperluaskan ke seluruh Johor dengan peruntukan RM1 juta menerusi Bajet Johor 2018.

Projek itu menjadi antara usaha meningkatkan hasil pencarian golongan berpendapatan rendah melalui konsep keusahawanan sosial dengan pembabitan golongan pasca siswazah bersama masyarakat.

Bagi ibu tunggal, Norita Sudin, 47, pengalaman terbabit secara langsung dalam projek cendawan tiram kelabu bersama lapan rakannya bukan saja membantu memajukan diri dan keluarga, malah menjana pendapatan.

Katanya, sebagai pencari rezeki tunggal, sumber pendapatan sedia ada dalam kalangan rakannya adalah kecil ditambah lagi kebanyakan mereka tidak berpendidikan tinggi.

“Konsep keusahawanan sosial ini memberi kami panduan sewajarnya seperti kursus peralatan pertanian dan perniagaan selain kaedah pengurusan, kewangan dan pemasaran.

“Kebanyakan ahli dalam kalangan ibu tunggal yang mempunyai pekerjaan seperti pemandu van sekolah, peniaga kedai runcit atau suri rumah,” katanya.

Norita berkata, modal yang diperuntukkan oleh YPKDT berjumlah RM15,000 selain penyediaan 5,500 bongkah cendawan yang diletakkan di kawasan tanaman dengan keluasan 37.16 meter persegi.

Katanya, harga yang ditawarkan bagi setiap 300 gram cendawan tiram kelabu sebanyak RM4.50, manakala satu kilogram pula dijual pada harga RM15.

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Flora Heights Seri Alam, Zamri Zahri berkata, pertanian berkonsep kejiranan diyakini memberi ruang lebih luas kepada komuniti bagi membabitkan diri dalam perniagaan secara kecil-kecilan.

Katanya, aktiviti berkonsepkan Kebun Kejiranan yang dijalankan sejak April tahun lalu itu diusahakan kira-kira 50 komuniti membabitkan tanaman campuran termasuk kobis, kangkung dan cili padi.

“Projek pusingan ketiga yang diusahakan penduduk Taman Flora Heights ini mendapat bantuan daripada Yayasan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).

“Yayasan MPPG saja memperuntukkan RM30,000 manakala IRDA memainkan peranan dengan memberi latihan, umpamanya kaedah penanaman yang betul,” katanya.

Zamri berkata, IRDA memberi 289 anak pokok cili bagi membolehkan penduduk mengusahakannya yang mampu memberi hasil antara 80 kilogram (kg) cili padi dalam tempoh sebulan.

Katanya, hasil yang diperoleh akan dijual di kedai runcit atau kepada individu perseorangan.

Disiarkan pada: May 5, 2018 @ 5:45am
d