mutakhir

Ziarah pengundi sepanjang masa

Oleh Shahrinnahar Latib

“BELIAU memang seorang baik hati dan membantu semua orang tanpa mengira kaum serta agama,” kata warga emas, Wong Won Choi.

Suri rumah berusia 65 tahun itu terharu dengan kunjungan calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Lembing, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah, ke atas suaminya, Kan Soh Ho, 70 tahun.

Beliau berkata, sejak suaminya menghidap penyakit kencing manis dan tidak bekerja, kerajaan melalui wakil rakyat BN membantu menyalurkan pelbagai bantuan termasuk daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Suami sakit sejak setahun lalu, sekarang tidak boleh berjalan. Sejak suami sakit memang banyak bantuan kami sekeluarga terima.

“Sebelum ini pun, beliau memang sudah beberapa kali menziarahi suami dan memberi pelbagai bantuan diperlukan.

“Md Sohaimi yang juga penyandang DUN Sungai Lembing selama ini sentiasa peka permasalahan dan aduan penduduk tanpa mengira kaum. Memang kaum Cina di Sungai Lembing suka kepada beliau,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Sungai Lembing, hari ini.

Terdahulu, Md Sohaimi meluangkan masa melawat pasangan suami isteri itu serta menyampaikan sumbangan kerusi roda.

Sementara itu, beliau berkata, program ziarah seumpama itu bukan baharu dilaksanakan, sebaliknya inisiatif sama sudah dilakukannya termasuk bersama bekas Ahli Parlimen Paya Besar, Allahyarham Datuk Seri Abdul Manan Ismail.

“Ini cara kita bertemu dengan penduduk terutama yang tidak bernasib baik. Kita bukan melaksanakan program ziarah ini pada musim pilihan raya sahaja, tetapi setiap masa.

“Cara seperti ini lebih praktikal kerana saya dapat berdepan dengan masyarakat secara lebih dekat dan mereka lebih mudah untuk berkongsi sesuatu perkara dengan saya,” katanya.

CAPTION

Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Lembing, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah (tiga dari kiri) melihat keadaan Kan Soh Ho, 70, yang tidak mampu berjalan akibat penyakit kencing manis di rumahnya di Sungai Lembing.

Disiarkan pada: May 5, 2018 @ 11:08am
d