mutakhir

'Sapu' RM5,000 selepas acu pistol

Oleh Rosliza Mohamed

LELAKI mengacukan pistol ke leher seorang jurujual dan melarikan wang tunai serta barang kemas berjumlah kira-kira RM5,000 di sebuah kedai kosmetik di Jalan Salor, Kota Bharu, semalam.

Bagaimanapun, jurujual, 22, tidak cedera dalam kejadian pada 1.45 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, sebelum kejadian mangsa bersama rakan sekerjanya berada di dalam kedai sebelum didatangi suspek.

Menurutnya, lelaki itu memegang tangan mangsa sambil mengacukan pistol ke leher dan mengarahkan memberikan gelang tangan emas yang dipakainya.

“Mangsa yang tidak mampu melawan dan merasa takut terpaksa mengikut kehendak lelaki itu.

“Selepas itu lelaki terbabit ke kaunter dan mengarahkan rakan sekerjanya supaya menyerahkan wang jualan yang berada dalam laci kira-kira RM3,000.

“Lelaki itu kemudian melarikan diri dengan menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Disiarkan pada: May 5, 2018 @ 2:56pm
d