mutakhir

Kesan retak makin panjang

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

KEJADIAN tanah runtuh menimpa sebuah rumah di Jalan Gombak Batu 10 1/2 Kampung Sungai Salak, Gombak, Selasa lalu, semakin buruk apabila kesannya ‘melarat’ ke bahagian lantai dan dinding ruang tamu kediaman berkenaan.

Pemilik rumah, Mohd Rafiee Abdul Hamid, 53, berkata kesan retak pada lantai dan dinding ruang tamu itu hanya disedari beberapa hari lalu.

Katanya, kesan retak baru itu dipercayai berlaku susulan kejadian tanah runtuh sebelum ini.

“Saya hanya menyedari lantai di ruang tamu itu retak kerana terdapat benjolan setiap kali berjalan di kawasan berkenaan.

“Kesan retak itu dianggarkan sepanjang lima meter, selain terdapat keretakan kecil pada dinding ruang tamu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Rafiee berkata, sejak Jumaat lalu sehingga kini, masih belum ada sebarang perkembangan diterima daripada pihak berkuasa berhubung status rumah terbabit sama ada selamat diduduki atau sebaliknya.

“Ketika ini, kami sekeluarga masih tinggal di rumah ini kerana belum ada tindakan daripada pihak berkuasa. Malah, Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) belum mengambil tindakan lanjut berhubung perkara itu walaupun saya sudah membuat laporan seperti diarahkan pihaknya.

“Melihat keadaan rumah yang semakin buruk menyebabkan saya bimbang untuk meninggalkan isteri dan anak di rumah ketika keluar bekerja kerana khuatir kejadian sama berulang semula,” katanya.

Bagaimanapun, dia lega apabila ada pihak tampil untuk membantu menyediakan rumah untuk keluarganya tinggal bagi sementara waktu.

“Saya dimaklumkan oleh pihak Puteri UMNO Cawangan Cheras bahawa mereka sudah mengemukakan masalah itu kepada pegawai khas Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

“Mereka bersetuju untuk menyediakan sebuah rumah di Flat Sri Melaka, Kuala Lumpur sebagai tempat tinggal sementara bagi tempoh enam bulan sehingga kediaman dibaiki dan masalah tanah runtuh diselesaikan,” katanya yang memaklumkan dijangka berpindah ke penempatan itu, minggu depan.

Selasa lalu, NSTP melaporkan dinding dan lantai bahagian dapur rumah Mohd Rafiee retak ekoran tanah runtuh berpunca daripada paip utama SYABAS yang terletak berhampiran kediamannya pecah.

Disiarkan pada: May 5, 2018 @ 2:56pm
d