mutakhir

Tilam terbakar, banglo hangus

Oleh Junaidi Ladjana

“SAYA masuk ke dalam bilik di tingkat atas untuk berehat, tiba-tiba tilam terbakar dan saya terus menyelamatkan beberapa barang lalu keluar.

“Pada masa sama, saya menjerit meminta rakan di dalam rumah menyelamatkan diri,” kata Dahlan Muhamad, 19, penghuni banglo sewa di Kampung Peringatan, Petagas yang terbakar, pagi hari ini.

Dalam kejadian 10.40 pagi itu, banglo dua tingkat terbakar 90 peratus di bahagian atas manakala di bawah terbakar 30 peratus.

Dahlan berkata, sebelum kejadian, dia bersama enam rakan sekerja yang menyewa banglo berada di tingkat bawah.

“Saya yang keletihan naik ke tingkat atas untuk berehat dan ketika membuka pintu, tilam di dalam bilik tidur tiba-tiba terbakar.

“Jadi saya terus menyelamatkan apa sahaja barang penting lalu keluar menyelamatkan diri bersama rakan lain,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan pada 10.44 pagi.

“Sebaik tiba, banglo dua tingkat terbakar dan tiga jentera bersama 17 anggota berusaha mengawal dan memadam api daripada terus meranapkan rumah berkenaan.

“Api berjaya dikawal daripada merebak ke rumah berhampiran pada 11.18 pagi. Tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.

“Operasi tamat pada 12.06 tengah hari dan siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca kebakaran,” katanya.

Operasi itu turut dibantu seramai 14 anggota dari BBP Penampang.

Disiarkan pada: May 5, 2018 @ 3:01pm
d