mutakhir

Pembangkang pandai tabur janji saja [METROTV]

Oleh Audrey Dermawan dan M Hifzuddin Ikhsan

PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak meminta penduduk Pulau Pinang tidak menyerahkan nasib mereka kepada pembangkang yang sehingga kini masih gagal menunaikan janji mereka.

Beliau berkata, sehingga kini pembangkang gagal membina sebarang Rumah Mampu Milik (RMM) yang dijanjikan, sebaliknya menyebabkan banjir kilat kerap berlaku di negeri itu.

“Pulau Pinang menjadi contoh di mana janji tinggal janji. Tiada rumah RMM dibina, tetapi yang ada 149 kejadian banjir kilat dan pembinaan rumah di lereng bukit.

“Kalau begini, pentadbiran bekas Ketua Menteri Tan Sri Koh Tsu Koon lebih baik dalam menjaga alam sekitar berbanding kerajaan negeri DAP,” katanya pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Tasek Gelugor, hari ini.

Mengulas lanjut, Najib berkata, kesepakatan pembangkang hanya bertujuan menumbangkan Barisan Nasional (BN) ketika musim plihan raya sahaja.

“Sejarah membuktikan pakatan seperti Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan Pakatan Rakyat hanya wujud ketika pilihan raya sebelum mereka akan berpecah selepas itu.

“Tidak masuk akal apabila mereka mahu mentadbir negara kerana setiap parti ada kepentingan sendiri berbeza dengan BN yang benar-benar mahu menubuhkan kerajaan,” katanya.

Disiarkan pada: May 5, 2018 @ 3:11pm
d