mutakhir

Poster calon BN 'mandi' cat merah

Oleh Siraj Mohd Zaini

KIRA-KIRA 10 papan iklan yang memaparkan calon Barisan Nasional (BN) Lee Yee Yuen bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan disimbah cat merah, hari ini.

Calon Parlimen BN Sungai Besar Budiman Mohd Zohdi berkata, tindakan yang disedari pagi tadi itu disifatkan politik murahan segelintir pihak tertentu.

“Kita mengecam tindakan (simbah cat merah) dibuat mereka yang tidak bertanggungjawab ini, dan saya berharap pengundi di Sekinchan boleh menerima gerak kerja kita yang membawa kebaikan kepada mereka.

“Pengundi boleh menilai apa yang dilakukan terhadap papan iklan ini, seterusnya mengetahui mana calon yang betul-betul mahu berkhidmat kepada rakyat,” katanya ketika ditemui di Sekinchan, hari ini.

Dalam pada itu, Yee Yuen berkata, pihaknya akan membuat laporan polis berhubung perbuatan berkenaan sekali gus menganggap ia tidak akan mengganggu kerja dan tugasnya mendampingi pengundi di Sekinchan.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Yee Yuen berhadapan penyandang dari pakatan pembangkang Ng Suee Lim serta calon PAS, Fadzin Taslimin.

Disiarkan pada: May 5, 2018 @ 8:50pm
d