mutakhir

Fadzil Noor penasihat agama saya - Dr M

Oleh Petah Wazzan Iskandar

SETELAH dikritik hebat oleh penyokong PAS berhubung kenyataannya berkaitan isu tragedi Memali, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menziarahi kubur Allahyarham Datuk Fadzil Noor.

Calon PKR bagi kerusi Parlimen Langkawi itu turut menziarahi kubur bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak, bersebelahan kubur bekas Presiden PAS itu di Muassasah Darul Ulum di Pokok Sena.

Difahamkan ini kali pertama beliau menziarahi kubur Allahyarham Fadzil yang meninggal dunia pada tahun 2002.

Malah, dalam ceramahnya selepas itu, Dr Mahathir turut memuji Fadzil dan mendakwa arwah adalah penasihat agama peribadinya.

Pengerusi pakatan pembangkang itu turut melahirkan rasa kagum dengan ketokohan Fadzil yang sering menjadi rujukan mengenai agama dengan memberi bayangan kepemimpinan PAS kini tiada yang setaraf bekas pemimpin parti Islam terbabit.

“Allahyarham Fadhil pernah menjadi penasihat agama saya sebelum beliau aktif dalam politik.

“Apabila saya dapat sesuatu yang saya kurang faham, saya jemput beliau ke rumah, kami bercakap berkenaan agama, tafsiran agama dan sebagainya,” katanya ketika berceramah di Bukit Lada petang tadi.

Mengulas lanjut, selain Fadhil, Dr Mahathir turut memuji Allahyarham Azizan sebagai seorang tokoh yang luar biasa dan mendakwa mereka mempunyai hubungan yang baik.

“Satu orang lagi orang PAS yang saya tak boleh lupa adalah Ustaz Azizan, dia ini luar biasa, baik bukan main.

“Dia sekali itu, pada majlis makan malam, dia tak pakai jubah tetapi memakai baju kot yang ada bintang-bintang tu, dia kata kat saya, ini orang PAS marah dekat saya tetapi dia tak takut, dia seorang pemimpin yang baik,” katanya.

Semalam, Dr Mahathir membuat permohonan maaf kepada keluarga dan waris tragedi Memali susulan kenyataannya yang kesemua penyokong PAS yang terkorban dalam tragedi 30 tahun lalu itu sebagai ‘mati katak’ dan bukannya mati syahid.

Kenyataan beliau itu mendapat kritikan hebat waris mangsa Memali termasuk, anak Allahyarham Ibrahim Ahmad atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya.

Bagaimanapun, beliau meletakkan kesalahan tragedi itu kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Bekas Perdana Menteri itu sebelum ini turut mendakwa, ‘Amanat Haji Hadi’ pada 1981 yang menjadi punca berlakunya peristiwa hitam terbabit dengan membunuh pegawai kerajaan yang disifatkan sebagai kafir.

Disiarkan pada: May 5, 2018 @ 11:29pm
d