mutakhir

Mustapa: PAS sila beri bukti

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

PAS diminta mengemukakan bukti berhubung tuduhan yang Barisan Nasional (BN) memaksa penerima bantuan Kerajaan Pusat bersumpah supaya mengundi calon BN pada PRU-14.

Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, turut menyifatkan tuduhan itu sengaja diadakan untuk meraih simpati.

“Kita yakin akan ada tuduhan lain dalam masa terdekat. Saya tegaskan ini bukan amalan kita untuk melakukan perbuatan seperti itu dan PAS perlu mengemukakan bukti jika perkara itu benar berlaku.

“Apa yang pasti, kita bekerja keras dengan mendekati rakyat demi meraih undi dalam usaha menawan Kelantan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Belia Negara, di sini, hari ini.

Terdahulu, Setiausaha PAS Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi mendakwa BN menggunakan taktik kotor dengan memaksa penerima bantuan kerajaan supaya bersumpah untuk mengundi calon BN.

Dakwanya, perkara itu dikesan berlaku di Pasir Puteh serta Jeli dan pihaknya sedang mengumpul bukti dan tidak menolak kemungkinan untuk melaporkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK).

Dalam perkembangan lain ketika mengulas dua bekas menteri iaitu Tan Sri Rafidah Aziz dan Tun Daim Zainuddin yang digugurkan keahlian parti, Mustapa yang juga ahli Majlis Tertinggi UMNO, berkata perkara itu adalah biasa dalam parti.

“Ini perkara biasa dalam parti tidak kira kedudukan seseorang itu. Kalau dah hentam kerajaan secara terbuka, memang itu tindakan sepatutnya diambil,” katanya.

Terdahulu pada sebelah petang, Dr Mahathir semasa di Pokok Sena sempat menziarahi kubur bekas Presiden PAS iaitu Allahyarham Datuk Fadzil Noor.

Selain Fadzil, beliau turut memuji bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Razak yang dianggap sebagai tokoh luar biasa yang juga mempunyai hubungan baik dengannya.

Disiarkan pada: May 6, 2018 @ 1:29am
d